Istanbul: Gergasi kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat (AS), OpenAI dan SoftBank Jepun mengumumkan pada Isnin yang ia bersetuju untuk menubuhkan usaha sama yang dikenali sebagai “SB OpenAI Japan.”
Agensi Anadolu (AA) melaporkan usaha sama itu akan memberi tumpuan pada pemasaran AI perusahaan termaju baharu dinamakan “Cristal intelligence,” secara eksklusif kepada syarikat utama di Jepun.
Sebagai sebahagian perjanjian itu, SoftBank akan melabur sebanyak AS$3 bilion setiap tahun untuk kegunaan sendiri dan anak syarikatnya, memberikan mereka akses kepada teknologi OpenAI di Jepun.
SoftBank dan ahli gabungannya akan mendapat akses kepada ChatGPT Enterprise OpenAI, API, model tersuai dan produk ejen seperti Operator. Selain itu, alat OpenAI akan digunakan oleh Arm, pereka cip dari Britain yang diperoleh oleh SoftBank pada 2016 untuk “meningkatkan produktiviti seluruh syarikat.”
Kerjasama ini dimeterai akibat gangguan yang ditimbulkan oleh chatbot DeepSeek AI dari China terhadap saham teknologi AS.
Kedua-dua syarikat juga disenaraikan sebagai penyumbang kepada “The Stargate Project,” yang dikatakan akan melabur sehingga AS$500 bilion ke dalam infrastruktur AI di AS.
© New Straits Times Press (M) Bhd