Dallas: Reilly Opelka menggesa Persatuan Tenis Profesional (ATP) menggantung pengadil kerusi Greg Allensworth selepas dikenakan penalti ketika aksi Terbuka Dallas kerana bertikam lidah dengan seorang penonton yang didakwanya sengaja batuk bagi mengganggu servisnya.
Dalam aksi pusingan 16 menentang Cameron Norrie, Opelka yang sedang bersedia untuk melakukan servis bagi mengesahkan kemenangan pada kedudukan 30-30 tiba-tiba menghentikan pukulannya dan menegur seorang penonton, bertanyakan sama ada dia batuk secara sengaja sambil mengarahkannya keluar dalam satu luahan kemarahan yang diselitkan dengan kata-kata kesat.
Allensworth kemudiannya memberikan Opelka satu kod penalti sebelum mengenakan hukuman pemotongan mata atas dua kesalahan mengeluarkan kata-kata tidak sopan secara lantang selepas pemain Amerika Syarikat (AS) itu berdebat dengannya di kerusi pengadil.
Menurut peraturan ATP, kesalahan pertama akan diberikan amaran, manakala kesalahan kedua membawa kepada pemotongan mata.
Bagaimanapun, Opelka berjaya memenangi perlawanan 4-6, 7-6(5), 6-4 tetapi tetap melabel Allensworth sebagai ‘pengadil paling teruk dalam ATP’ dan menegaskan dia terpaksa bertindak sendiri kerana pengadil gagal mengawal keadaan.
“Beliau memang teruk. Hampir mengubah keputusan perlawanan hanya kerana beliau tidak tahu apa yang dilakukan. Beliau menjadi emosional ketika kami bertengkar,” kata Opelka selepas perlawanan.
“Beliau jadi panik, tegang dan tak mampu berikan jawapan. Beliau tidak mengarahkan lelaki itu diam walaupun sudah mengganggu selama tiga mata. Beliau tidak buat kerja, jadi saya terpaksa beritahu lelaki itu, ‘Keluar dari sini’.”
Opelka berharap ATP akan mengambil tindakan terhadap Allensworth kerana hampir menyebabkan dia terlepas tiket ke suku akhir.
Pemain berusia 26 tahun itu turut dijangka dikenakan denda sebanyak AS$5,000 (RM23,800) bagi setiap kesalahan yang dilakukannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd