hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis merampas minuman keras dan rokok tanpa cukai bernilai kira-kira RM4.45 juta (RM4,453,694.14) dalam Op Taring Alpha 1 dan Op Taring Alpha 2 di tiga lokasi berasingan di sekitar Keningau, Sabah pada 3 Februari lalu.
Turut ditahan lima individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki serta seorang wanita warga Indonesia.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, rampasan dan tangkapan itu dilakukan pihaknya melalui Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Keningau.
Menurutnya, serbuan dilakukan di tiga premis yang dipercayai dijadikan aktiviti penyeludupan serta pengedaran minuman keras dan rokok disyaki tidak berkastam.
“Rampasan membabitkan 4,504 karton minuman keras membabitkan pelbagai jenama, 101 karton arak putih, 3,840 karton rokok kretek pelbagai jenama dan 1,600 karton rokok putih pelbagai jenama. Selain itu turut dirampas dua van, dua lori dan tiga telefon bimbit.
“Tangkapan dan rampasan itu berjaya memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan, pengedaran dan penjualan arak serta rokok tidak berkastam yang bergerak aktif di sekitar kawasan Keningau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Azmi berkata, secara keseluruhan bagi tempoh I Januari hingga 3 Februari lalu, pihaknya melalui WCB/PSK melakukan sebanyak 46 serbuan di seluruh negara dan menahan 51 individu atas pelbagai kesalahan.
Katanya, ia membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar dan penjualan senjata tiruan membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM181.25 juta (RM181,250,279.99).
© New Straits Times Press (M) Bhd