hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman enam lagi individu terdiri daripada pegawai dan bekas pegawai institusi perbankan yang disyaki menerima rasuah sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan permohonan pinjaman peribadi dikemukan sebuah syarikat perunding kewangan.
Perintah reman selama lima hari sehingga 27 Januari ini terhadap enam suspek membabitkan empat lelaki dan dua wanita dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Menurut sumber, enam suspek berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu ditahan antara 3 hingga 4 petang, semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya berhubung Op Sky.
“SPRM menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan rasuah dilakukan oleh pegawai-pegawai institusi perbankan yang membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.
“Pegawai-pegawai itu dipercayai menerima rasuah daripada syarikat perunding kewangan yang bertindak menyediakan dokumen dipercayai mengandungi maklumat palsu pelanggan yang ingin membuat pinjaman peribadi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap supek berkenaan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
Katanya, 19 individu yang sebelum ini ditahan reman sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
© New Straits Times Press (M) Bhd