Onde-onde, popia basah, punten pilihan Anwar di Bazar Ramadan Chukai

Onde-onde, popia basah, punten pilihan Anwar di Bazar Ramadan Chukai

am@hnetro.com.my

Chukai: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa melawat peniaga dan beramah mesra bersama pengunjung Bazar Ramadan Astaka, Jalan Padang, di sini, hari ini.

Anwar tiba pada 6.31 petang diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketibaan Anwar di bazar berkenaan disambut mantan Adun Kijal yang juga Pengerusi Ketengah, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau dan berbual dengan peniaga serta pengunjung di bazar itu yang menempatkan 200 gerai sebelum bergerak ke Masjid Sultan Ahmad, di sini, bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Terengganu 2025.

Sementara itu, peniaga nasi kerabu dan kuih muih, Farah Akmal Hamzah, 51, berkata dia sangat teruja berpeluang melihat Perdana Menteri secara berdepan.

“Memang tak pernah jumpa depan, sebelum ni hanya tengok dekat televisyen sahaja.

“Sudah dua tahun saya berniaga di bazar, tahun ini rasa sangat bertuah dan teruja apabila PM singgah dan beli onde-onde, popia basah serta punten iaitu nasi lemak jawa,” katanya berasal dari Negeri Sembilan dan menetap bersama keluarga di Kampung Pengkalan Pandan, di sini.

Katanya, Perdana Menteri turut berpesan agar menjaga kebersihan (gerai dan makanan).

Seorang lagi peniaga, Wan Ramlah Wan Endut, 65, dari Kampung Baru Fikri, Mak Lagam, di sini, berkata sejak 10 tahun berniaga di Bazar Ramadan, gerainya tidak pernah dikunjungi Perdana Menteri.

“Ini kali pertama PM datang dan tengok kami berniaga. Gembira dan rasa bertuah dan bersemangat,” katanya yang berniaga makanan tradisional Terengganu seperti satar, otak-otak, pulut panggang, popia goreng dan keropok lekor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top