London: Penjaga gol Cameroon, Andre Onana akan kembali mengawal gawang Manchester United dalam aksi hidup mati menentang Lyon di Old Trafford awal pagi Jumaat ini, kata pengendali Red Devils, Ruben Amorim.
Onana diketepikan ketika kekalahan memalukan 1-4 kepada Newcastle pada hujung minggu lalu selepas dua kesilapannya membawa padah dalam keputusan seri 2-2 di Perancis pada aksi pertama suku akhir Liga Europa minggu lalu.
Namun, Amorim dalam sidang media pra perlawanan mengesahkan bahawa Onana akan kembali diturunkan menentang Lyon.
“Onana akan bermain esok (Jumaat),” kata jurulatih dari Portugal itu ringkas.
“Sebagai jurulatih dan bekas pemain, saya sentiasa cuba lakukan perkara yang boleh membantu pemain dalam situasi sebegini. Kita sering bercakap mengenai pengurusan fizikal, tetapi aspek mental juga sama penting.
“Minggu lalu saya rasa lebih baik Onana direhatkan dan baik juga untuk Altay (Bayindir) diberi peluang bermain,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amorim turut mengesahkan satu lagi berita buruk buat United apabila penyerang Belanda, Joshua Zirkzee disahkan tidak akan beraksi lagi musim ini akibat kecederaan hamstring yang dialami ketika menentang Newcastle.
“Joshua sudah pun menamatkan musim ini. Dia tidak akan bermain lagi dan kita akan fokus untuk persiapkan dia bagi musim depan. Ia sukar buat dirinya kerana dia sedang menunjukkan peningkatan dalam semua aspek,” jelas Amorim.
United kini terperosok di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris dengan hanya enam perlawanan berbaki dan berisiko menamatkan musim di kedudukan ke-17 — satu tangga sahaja di atas zon penyingkiran — yang bakal menjadi pencapaian terburuk sejak mereka tersingkir dari liga utama pada musim 1973/74.
Bagaimanapun, Amorim masih mempunyai peluang untuk menyelamatkan musim bergelora United dengan menamatkannya sebagai juara Liga Europa — satu trofi yang boleh menjadi titik perubahan penting dalam proses pembinaan semula skuad.
© New Straits Times Press (M) Bhd