TOKYO: Alexander Zverev meminta maaf kepada Novak Djokovic kerana meleburkan harapannya untuk meraih Grand Slam Emas di Sukan Olimpik dan menyanjung Djokovic sebagai salah seorang ‘pemain terbaik sepanjang zaman.’
Djokovic memerlukan pingat emas Olimpik dan Terbuka Australia untuk melengkapkan ‘Golden Slam’ dalam satu kalendar tahun selepas memenangi tiga gelaran major pada tahun ini.
Kemenangannya di Wimbledon menyaksikan dia terikat bersama Roger Federer dan Rafael Nadal dengan 20 gelaran Grand Slam.
Namun, pemain nombor satu dunia itu mensia-siakan kelebihan satu set apabila tewas 1-6, 6-3, 6-1 untuk membolehkan Zverev mara ke final.
“Saya kasihan kepada Novak tetapi dia sudah memenangi 20 Grand Slam, siri Master dan sebagainya tetapi anda tidak boleh memenangi segalanya,” kata pilihan keempat itu.
“Dia pemain terhebat sepanjang zaman, dia akan memenangi Grand Slam terbanyak berbanding pemain lain tetapi saya gembira mara ke final.”
Zverev muncul sebagai pemain Jerman pertama beraksi di final bagi kategori perseorangan lelaki sejak Tommy Haas pada 2000 dan akan bertemu pemain Russia, Karen Khachanov di pentas akhir, Ahad ini.
“Anda bukan sahaja bermain untuk diri sendiri tetapi bermain untuk seluruh negara, rakyat, mereka yang menyaksikan perlawanan dan juga menyokong anda.
“Satu perasaan yang hebat apabila anda tahu yang anda akan membawa pulang pingat buat negara. Menakjubkan apabila menewaskan pemain terbaik dunia.”
Djokovic yang beraksi dalam separuh akhir beregu campuran bersama Nina Stojanovic masih berpeluang menjadi pemain lelaki pertama memenangi empat gelaran major dalam satu kalendar Grand Slam pada musim ini sejak Rod Laver pada 1969.-AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd