Olimpik: TMJ zahir kata-kata semangat kepada kontinjen negara

Olimpik: TMJ zahir kata-kata semangat kepada kontinjen negara

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menzahirkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberikan ‘tonik tambahan’ kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam satu entri menerusi akaun Instagram miliknya, Tunku Ismail berkata: “Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada para atlet kebangsaan yang akan bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari 23 Julai hingga 8 Ogos nanti.

“Seramai 30 orang atlet negara bakal bertanding dalam 27 acara yang melihatkan 10 jenis sukan.

Saya yakin atlet-atlet kita mampu berdaya saing dengan para atlet negara lain di persada dunia untuk mencapai kecemerlangan.

“Tahniah juga saya ucapkan kepada YB Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan atas usaha beliau dalam memastikan kontinjen negara dapat pergi ke Olimpik Tokyo kali ini walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19 yang masih berterusan.

“Bersama-sama kita doakan kecemerlangan untuk atlet-atlet kebangsaan kita di Tokyo. Give it your best and make us proud! (Berikan yang terbaik dan banggakan kami).”

Entri Tunku Ismail itu kemudian dibalas MOM dengan berkata: “Merafak sembah, menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas perkenan Duli Yang Amat Mulia, Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor @hrhcrownprinceofjohor menzahirkan kata-kata semangat kepada para atlet kebangsaan yang bakal bertanding dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Sembah takzim daripada presiden, Lembaga Eksekutif dan pengurusan Majlis Olimpik Malaysia.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top