Old Trafford 'baharu' RM11 bilion

Old Trafford 'baharu' RM11 bilion

London: Manchester United melantik arkitek terkenal dunia Foster + Partners untuk merangka pelan induk bagi membangunkan kawasan sekitar Old Trafford sebagai sebahagian daripada projek memodenkan stadium kebanggaan Red Devils.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu mempunyai dua pilihan sama ada membangunkan semula stadium kelab terbesar di negara itu atau membina stadium baharu di atas tanah bersebelahan milik United.

Pemilik bersama United Jim Ratcliffe lebih memilih stadium baharu dan Pasukan Petugas Pembinaan Semula Old Trafford difahamkan memfokuskan rundingan untuk membina stadium baharu lebih moden berkapasiti 100,000 tempat duduk berbanding menaiktaraf stadium sedia ada.

Kelab kini melantik firma berpangkalan di London Foster + Partners untuk membangunkan ‘pelan induk’ dengan kos keseluruhan stadium baharu itu dianggarkan £2 bilion (RM11.16 bilion) manakala pasukan petugas khas dijangka mengemukakan cadangan mereka pada penghujung tahun ini.

Syarikat yang dilantik United itu mempunyai reputasi tinggi selepas terbabit dengan beberapa projek besar antaranya termasuk pembangunan semula Stadium Wembley di London selain membantu pembinaan Stadium Lusail yang menjadi venue final Piala Dunia 2022 di Qatar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top