hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Serdang: Warga asing yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal yang menjual tisu di jalan raya sehingga mengganggu pengguna dan kelancaran trafik, ditahan polis.
Lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di persimpangan lampu isyarat Puchong Jaya, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, penahanan dibuat susulan aduan awam yang diterima pada 2 petang.
“Modus operandi lelaki itu dengan meraih simpati orang ramai secara memperlihatkan dia OKU fizikal.
“Suspek didapati masuk ke negara ini pada 5 Februari lalu. Selain itu, turut dirampas tisu, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM116,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati warga asing itu menyalahgunakan pas lawatan sosial dan saman dikeluarkan mengikut Peraturan 10A(1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya kerana menjual sesuatu kepada orang dalam kenderaan di persimpangan jalan atau di atas jalan.
“Suspek juga ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Anbalagan mengingatkan orang ramai bahawa menjadi satu kesalahan menjual sesuatu kepada orang dalam kenderaan di persimpangan jalan atau atas jalan.
© New Straits Times Press (M) Bhd