hafizithnin@mediaprima.com.my
TIDAK dinafikan ketika ini ramai wanita yang lebih gemar untuk memilih tinggal seorang diri di dalam kediaman kerana ia memberi banyak keselesaan dan privasi.
Tinggal berseorangan dalam kalangan yang belum berkahwin juga adalah perkara biasa dalam masyarakat. Apatah lagi, jika mereka sudah memiliki kediaman sendiri.
Namun, antara perkara yang menjadi perhatian adalah jika wanita itu tinggal berseorangan di dalam rumah dan ia tidak mempunyai kawalan keselamatan seperti di taman perumahan yang tidak mempunyai kawasan berpagar.
Justeru, di dalam ruangan Wanita Metro (WM) kali ini, kami ingin kongsikan beberapa panduan yang mungkin boleh dipraktikkan untuk wanita yang tinggal seorang diri.
1. Pastikan keselamatan rumah
Ketika berada di dalam rumah pastikan kediaman anda sentiasa berkunci walaupun pada sebelah siang. Antara yang perlu diberi perhatian adalah pintu utama, pintu dapur, tingkap dan juga ruang yang berpotensi untuk diakses orang lain.
Di bahagian tingkap khasnya anda perlu pastikan ia tidak boleh dilihat orang lain dari luar. Justeru, perlu memilih langsir atau cermin yang gelap supaya aktiviti anda di dalam rumah tidak boleh dilihat dari luar.
Selain itu, anda boleh juga pasang kamera litar tertutup (CCTV) supaya boleh melihat sebarang pergerakan dari luar rumah. Ketika ini banyak CCTV yang canggih dan mempunyai pelbagai fungsi termasuk boleh diakses menerusi telefon pintar.
2. Rahsiakan anda berseorangan
Jangan mudah untuk mempercayai orang lain mengenai anda tinggal berseorangan kerana kita tidak tahu maklumat itu mungkin boleh menyebabkan keselamatan anda berisiko ketika berada di dalam rumah.
Jika ditanya oleh orang lain, maklumkan anda tinggal bersama ahli keluarga supaya orang asing tidak mengetahui bahawa anda hanya berseorangan di rumah ketika waktu cuti atau malam khasnya.
Paling penting ialah jangan kongsikan hal anda tinggal seorang di media sosial kerana mungkin ada pihak tidak bertanggungjawab boleh mengambil kesempatan untuk mencerobohi kediaman.
3. Maklumkan kepada ahli keluarga
Jika anda memutuskan untuk tinggal berseorangan, pastikan anda maklumkan kepada ahli keluarga terdekat mengenai keputusan itu. Anda boleh meminta ahli keluarga untuk sentiasa berhubung supaya jika berlaku sebarang perkara curiga, mereka boleh datang memeriksa di rumah.
Anda juga boleh berikan kunci pendua kepada ahli keluarga yang paling dipercayai. Perkara ini kerana jika berlaku hal kecemasan mereka boleh mengakses ke dalam rumah.
4. Pastikan persekitaran selamat
Apabila anda pulang dari lokasi yang lain ke rumah, sebelum membuka kereta, pastikan persekitaran di sekeliling adalah selamat. Sentiasa pastikan anda tidak diekori atau terdapat orang yang curiga di kawasan rumah.
Jika hal itu berlaku, jangan terus masuk ke kawasan rumah atau membuka pagar, sebaliknya anda boleh terus memandu ke tempat selamat seperti ke balai polis dan laporkan berkenaan hal itu.
5. Perancangan keselamatan
Anda sepatutnya mempunyai perancangan keselamatan dengan baik sekiranya tinggal seorang diri. Antara yang boleh dilakukan adalah sentiasa memastikan telefon bimbit anda mudah untuk menghubungi pihak berkuasa atau ahli keluarga jika berlaku sebarang kecemasan.
Anda juga boleh meletakkan penyembur pemedih mata di dalam bilik yang mudah untuk dicapai jika berlaku hal yang tidak diingini. Ia sebagai salah satu senjata supaya anda boleh melindungi diri sendiri.
Selain itu, membunyikan penggera keselamatan kereta juga adalah salah satu ‘senjata’ yang boleh dilakukan jika anda merasakan diri terancam di dalam rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd