New Delhi: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas ke atas kereta api di wilayah Balochistan, Pakistan.
Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa, kerajaan serta rakyat Pakistan.
Beliau menegaskan sokongan OIC terhadap Pakistan dalam usaha memerangi keganasan.
Dalam satu kenyataan media, Majlis Keselamatan PBB mengecam serangan ke atas kereta api Jaffar Express sebagai satu tindakan yang “kejam dan pengecut.”
Serangan itu berlaku pada 11 Mac di kawasan terpencil, kira-kira 32 kilometer dari bandar Sibi, ketika kereta api berkenaan dalam perjalanan dari Quetta ke Peshawar.
“Anggota Majlis Keselamatan menegaskan keperluan untuk mengheret pelaku, perancang, penyokong kewangan dan penaja serangan keganasan ini ke muka pengadilan.
“Mereka menggesa semua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan yang berkaitan, bekerjasama secara aktif dengan kerajaan Pakistan dalam perkara ini,” menurut kenyataan UNSC.
Kumpulan pemberontak yang diharamkan, Tentera Pembebasan Baloch (BLA), yang menurut Pakistan menerima senjata, dana dan perlindungan dari luar mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Pasukan keselamatan Pakistan bertindak balas dengan melancarkan operasi menyelamat yang menyaksikan 33 suspek disyaki pengganas terbunuh pada Selasa dan Rabu.
Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, ketua sayap media tentera Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR) dan Ketua Menteri Balochistan Sarfraz Bugti memberi butiran baharu mengenai peristiwa itu semasa sidang media di Islamabad pada Jumaat.
Menurut jurucakap tentera, angka korban meningkat kepada 31 orang, termasuk 26 penumpang dan lima anggota tentera serta Pasukan Frontier Corps.
Seramai 354 tebusan berjaya diselamatkan, dengan 37 daripada mereka mengalami kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd