Ogy kongsi kesihatan Ahmad Yatim kini uzur dan tidak dapat melihat

Ogy kongsi kesihatan Ahmad Yatim kini uzur dan tidak dapat melihat

am@hmetro.com.my

 

Kuala Lumpur: Pelakon, Fauziah Ahmad Daud memberitahu keadaan kesihatan bintang veteran Ahmad Yatim, 82, kini berada dalam keadaan uzur dan tidak dapat melihat seperti dulu.

Fauziah atau mesra disapa Ogy ketika dihubungi berkata, pelakon veteran itu kini menetap bersama adiknya di kediaman keluarga mereka di Rembau, Negeri Sembilan.

“Sebenarnya, saya sudah lama mahu bertemu dengan abang Mat bila dapat tahu dia sakit dan akhirnya Allah SWT izinkan kami bertemu pada Syawal, baru-baru ini.

“Pertemuan kami juga diatur pelakon Sobri Anuar Tarmizi yang meminta izin dari adiknya untuk saya berkunjung ke rumah Abang Mat.

“Alhamdulillah, ia pertemuan yang paling membahagiakan saya kerana dapat bertemu dengan guru yang sangat saya kagumi dan hormati sejak dulu,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas kesihatan Ahmad Yatim pula, kata Fauziah, pelakon veteran itu turut bercerita bagaimana dia kehilangan deria penglihatannya itu.

“Ketika itu, Abang Mat masih menjadi pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Sebaik sampai di rumahnya di Serdang, dia berasa sakit di belakang kepala atau leher dan mendapati penglihatannya semakin kabur dan terus menjadi gelap (tidak dapat melihat).

“Abang Mat beritahu dia bersyukur kerana kejadian itu berlaku bila dia sudah sampai ke rumah. Saya juga nampak wajahnya tenang dan ikhlas serta reda dengan ujian Allah itu. Malah, dia beritahu, solatnya juga semakin khusyuk bila sudah hilang penglihatan berkenaan.

“Ada juga pihak yang bertanyakan sama ada dia mahu buat pembedahan dan sebagainya tetapi dia beritahu tengoklah dulu,” katanya.

Berkongsi pertemuan dengan Ahmad Yatim lagi, kata Fauziah, dia juga mengimbas semula pembabitan mereka dalam filem mega, Abang pada 1981.

“Saya pernah menjadi anak muridnya dan dia adalah guru lakonan yang sangat saya kagumi dan hormati.

“Masa di set filem Abang dulu, saya pun tidak berani bergurau senda dengannya tetapi lebih kepada memerhati cara bagaimana bintang legenda sepertinya bekerja.

“Dia tidak garang tetapi sebagai guru harus tegas supaya anak murid menghormatinya. Beliau juga tidak lokek ilmu dan sangat pentingkan kejujuran dalam seni lakon,” katanya.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top