
Lokasi rumah sewa berkenaan.-Agensi
JAKARTA – Seorang lelaki bertindak kejam apabila membunuh isterinya bersama seorang lelaki lain yang didakwa sebagai kekasih gelap wanita itu dalam satu kejadian di sebuah bilik sewa di Perumahan Griya Anugerah, Kelurahan Mlajah, Bangkalan, Indonesia, pada Rabu.
Suspek, Abdul Razak, 44, dikatakan menyerang isterinya, Eka Fatmawati Dewi, 45, dan seorang lelaki bernama Agus, 36, selepas dipercayai menemui pasangan itu tinggal bersama di bilik berkenaan.
Menurut Ketua Rukun Tetangga (RT) tempatan, Achmad Khusyairi, penduduk sebelum itu terdengar bunyi bising dan pertengkaran dari bilik sewa mangsa.
“Lelaki terbabit mati di tempat kejadian manakala wanita itu mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya seperti dilaporkan portal detikJatim, pada Khamis.
Difahamkan, Eka telah menyewa bilik tersebut bersama Abdul Razak dengan menggunakan sijil nikah sebagai bukti pasangan suami isteri.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati Eka telah tinggal bersama lelaki lain, dipercayai menjalin hubungan sulit, sebelum Abdul Razak bertindak menyerang mereka dengan senjata tajam.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Bangkalan, AKP Hafid Dian Maulidi berkata, suspek berjaya diberkas tidak lama selepas kejadian di Jalan Raya Mlajah, tidak jauh dari lokasi kejadian.
Polis turut merampas sebilah parang yang masih berlumuran darah dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada rasa cemburu dan kemarahan selepas suspek mengetahui isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.
Kes kini disiasat mengikut undang-undang jenayah berat Indonesia.-Agensi