Nurul Shuhada tak pernah sekat, halang komunikasi anak dengan Hafidz

Nurul Shuhada tak pernah sekat, halang komunikasi anak dengan Hafidz

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri tiada niat menjauhkan apalagi memutuskan hubungan bekas suaminya bersama dua anak mereka iaitu Humairah, 8, dan Umar, 5.

Menurut Nurul Shuhada, peguamnya sudah memaklumkan pihak Hafidz akan pemergian dan keberadaan dia dan dua anaknya di Australia.

Dia juga nafi mengabaikan persekolahan anak-anaknya sebaliknya mereka dihantar bersekolah di Australia.

“Saya tak pernah sekat atau menghalang komunikasi antara anak-anak saya dengan bapa mereka. Malah dia sendiri boleh menghubungi anak-anak menerusi nombor saya kerana saya sendiri juga tidak menyekat nombor telefonnya.

“Dia juga boleh hubungi saya bila-bila masa tapi selepas dia berkahwin kami tak lagi berhubungan. Saya juga ada memaklumkan mengenai saya ke Australia bersama anak-anak dan alhamdulillah anak-anak gembira dan dijaga baik di sini.

“Saya tidak pernah mengabaikan atau ketepikan kebajikan serta keselamatan mereka di sini,” katanya.

Kebajikan anak-anak serta akademik mereka sentiasa jadi keutamaan Nurul Shuhada.

Dia juga menjelaskan keputusan membawa dua anaknya ke Australia dibuat menerusi saluran betul.

“Sedangkan sekolah di Malaysia pun memerlukan dokumen mengenai hak penjagaan anak sekiranya ibu bapa bercerai, takkanlah di Australia ini saya berani membelakangkan perkara penting seperti itu.

“Anak-anak tetap mendapat pendidikan yang baik di sini, alhamdulillah, anak-anak juga okay sahaja,” katanya.

Terdahulu, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi menuntut dua hadanah penuh dan interim terhadap dua anaknya Humairah, 8, dan Umar, 5, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Tindakan itu diambilnya selepas tidak bertemu dengan dua anaknya itu dalam tempoh lebih setahun.

Mereka dipercayai dibawa bersama Nurul Shuhada yang sekarang menetap di Australia.

Kali terakhir Hafidz dapat berhubung dengan anak-anaknya adalah menerusi panggilan video sebelum mereka berpindah ke Australia dan dia juga ada berusaha mahu berjumpa.

Sepanjang tempoh itu, dia tidak mengabaikan tanggungjawab dengan membayar nafkah untuk kedua anaknya walaupun sudah lama tidak bersua.

Hafidz dan Shuhada berkahwin pada 30 April 2016, namun bercerai pada 27 Julai 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top