Nurul Izzah tawar diri bertanding Naib Presiden PKR

Nurul Izzah tawar diri bertanding Naib Presiden PKR

KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar mengumumkan menawarkan diri untuk bertanding Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti itu pada 24 Mei ini.

Nurul Izzah berkata, beliau akui laluannya agak sukar untuk mempertahan jawatan itu sebagai kelangsungan dan persiapan parti menuju Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan belum menghantar borang pencalonan kerana perlu melalui proses yang baharu iaitu menggunakan sistem undi perwakilan.

“Kembalinya saya aktif menjawat jawatan Naib Presiden, maka selepas dari itu saya fikirkan terdapat keperluan dan peranan saya untuk meraikan bakat dalam parti bagi proses regenerasi bermula daripada akar umbi.

“Maka saya menawarkan khidmat selaku Naib Presiden. Saya berharap parti dapat memberikan saya peluang untuk menggalas beban yang juga sebahagian dan selari dengan fardhu kifayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Kasih Ramadan di sini hari ini.

Tambah Nurul Izzah, beliau berharap pemilihan parti kali ini bertanding dalam semangat kekeluargaan dan berlangsung dengan semangat kekitaan dalam satu usaha terbaik.

“Selain itu juga kita ingin memastikan bakat yang terbaik dapat diberikan ruang dan peluang yang bukan sekadar menjadi calon.

“Dalam mana-mana gabungan parti yang ingin terus hidup 100 tahun lagi, penting untuk kita tanam asas dan diskusi yang ada,” katanya.

Sebelum ini, PKR memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat pada 24 Mei ini.

Pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April ini.

Penyandang Naib Presiden PKR lain ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Manakala dua lagi yang dilantik selain Nurul Izzah ialah Timbalan Menteri Perpaduan, K. Saraswathy serta Awang Husaini Sahari dari Sabah.-UTUSAN

Scroll to Top