Kuala Lumpur: Kira-kira 22,000 kes penipuan membabitkan kerugian lebih RM147 juta dilaporkan kalangan mangsa kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) setakat September 2024.
Menerusi jawapan bertulis Dewan Negara bertarikh 18 Disember 2024 Kementerian Kewangan menjelaskan NSRC menerima 64,000 panggilan merangkumi laporan kes daripada mangsa penipuan dan khidmat nasihat kepada orang ramai.
“Berdasarkan aduan-aduan yang diterima itu, lebih 43,000 akaun keldai yang disyaki telah dikenal pasti untuk tindakan oleh institusi kewangan bagi menghalang pelapisan wang secara berbilang untuk menyembunyikan dana haram,” tambah kementerian itu.
Kementerian menjawab soalan Senator Manolan Mohamad mengenai jumlah kes penipuan yang dapat dikesan dan disekat menerusi penubuhan “National Fraud Portal” (NFP).
Menurut kementerian, NFP ditubuhkan bagi memperkukuh keupayaan NSRC dalam proses penjejakan dan pembekuan dana.
“Sejak mula digunakan pada April 2024 dan sehingga September tahun ini, NFP telah berjaya mengurangkan tempoh masa yang diambil untuk menjejaki dana sebanyak 75 peratus, dan meningkatkanjumlah dana yang dibekukan sementara sebanyak 34 peratus berbanding purata bulanan sebelum pelaksanaan NFP,” jelas kementerian.
© New Straits Times Press (M) Bhd