NOTTINGHAM Forest meneruskan usaha mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara dengan kemenangan selesa 4-2 ke atas Ipswich Town di Stadium Portman Road dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Anthony Elanga menjadi wira Forest dengan dua jaringan, membantu pasukan itu mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga dengan 54 mata, lima mata di hadapan Chelsea yang berada di tangga keempat.
Chelsea, yang berbaki satu perlawanan bakal bertemu Arsenal pada Ahad manakala juara bertahan Manchester City ketinggalan enam mata di tangga kelima.
Forest, yang sebelum ini bergelut untuk mengelak penyingkiran dalam dua musim terakhir, menjaringkan tiga gol dalam tempoh tujuh minit pada separuh masa pertama.
Nikola Milenkovic membuka tirai jaringan menerusi voli jarak dekat sebelum Elanga menambah dua lagi gol, memanfaatkan hantaran Milenkovic untuk menewaskan penjaga gol Ipswich, Alex Palmer.
Begitupun Jens Cajuste merapatkan jurang pada minit ke-82 sekali gus memberi harapan kepada penyokong tuan rumah, namun Jota Silva memastikan kemenangan Forest dengan gol lima minit kemudian. George Hirst kemudian menjaringkan gol sagu hati Ipswich pada masa tambahan.
“Kami berjaya mengucar-ngacirkan Ipswich dan mengambil kesempatan daripada kelemahan mereka. Gol keempat sangat penting kerana ia benar-benar menamatkan permainan pada ketika itu,” kata pengendali Forest, Nuno Espirito Santo.
City berputih mata, Everton cemerlang tanpa kalah
Sementara itu, Manchester City hanya mampu seri 2-2 menentang Brighton & Hove Albion, satu tamparan besar kepada harapan mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Erling Haaland membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-11 selepas Omar Marmoush dijatuhkan Adam Webster. Namun, Pervis Estupinan menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi sepakan percuma menarik.
City kembali di depan menerusi jaringan Marmoush pada minit ke-39 hasil hantaran Ilkay Gundogan, tetapi gol sendiri Abdukodir Khusanov selepas tandukan Webster menyebabkan kedudukan kembali terikat.
“Saya secara peribadi sangat kecewa. Selepas dua kali mendahului dan bermain cukup baik, agak mengecewakan untuk tidak mendapat tiga mata,” kata Gundogan selepas perlawanan.
Di tempat lain, Everton meneruskan rekod tanpa kalah mereka kepada sembilan perlawanan selepas seri 1-1 menentang West Ham United dalam ‘Derbi David Moyes’.
Di Goodison Park, Jake O’Brien menanduk masuk gol penyamaan pada saat akhir selepas Tomas Soucek meletakkan Hammers di hadapan pada minit ke-67.
“Karakter yang hebat dan keputusan yang adil. Jika anda beritahu saya ini pada awal musim, saya pasti akan bersetuju,” kata Moyes.
Everton dan West Ham kini berkongsi 34 mata, dengan Everton berada di tangga ke-14, dua anak tangga di atas Hammers.
Dalam perlawanan lain, Wolverhampton Wanderers menewaskan Southampton 2-1, mengambil langkah besar untuk kekal dalam liga.
Dua gol klinikal daripada Jorgen Strand Larsen memastikan Wolves, yang kini di tangga ke-17, memiliki kelebihan sembilan mata berbanding Ipswich Town di tangga ke-18.