Sekinchan: Menjadikan bangunan usang atau kedai kayu lama sebagai kafe dengan menampilkan suasana era 70an sehingga 90an, ditambah konsep vintaj serta hiasan pelbagai barangan antik sememangnya sudah menjadi satu trend.
Namun, berbeza pula bagi Ah Ma House, sebuah rumah kampung yang terletak sekitar 92 kilometer dari ibu kota Kuala Lumpur, diusahakan oleh pasangan suami isteri, Ng Joo Leong dan Kwi Ai Fang.
Namun rumah yang diinspirasikan daripada rumah nenek Ng itu bukanlah setakat kedai biasa yang menjual barangan klasik serta makanan ringan popular era 80an dan 90an.
Sebaliknya, mereka yang berkunjung ke kedai itu turut berpeluang untuk melihat secara dekat cara membuat kuih kapit dengan menggunakan kaedah tradisional.
Pastinya juga mereka tidak akan dapat melupakan pengalaman unik menikmati kuih kapit yang dibakar menggunakan arang bagi mengekalkan rasa aslinya di sebuah rumah warisan yang dihiasi dengan berbagai barangan antik serta terletak bersebelahan sawah padi.
Tidak menyangka konsep tersebut akhirnya berjaya menambat perhatian orang ramai untuk ke Ah Ma House yang dibuka sejak tahun 2015, Ng, 46, berkata, semuanya bermula apabila mereka ingin mempopularkan kuih kapit yang dihasilkan menggunakan resipi turun-temurun neneknya.
Dalam masa yang sama, minat isteri Ng terhadap barangan lama dan antik memberi ilham untuk pasangan ini menggabungkan kedua-dua konsep tersebut, sekali gus mencipta sebuah tempat yang penuh nostalgia serta berbeza dengan pendekatan berbagai trend kedai ala vintaj ketika ini.
“Sejak kecil, isteri saya suka mengumpul barangan lama. Kami fikir, kenapa tidak untuk mempamerkan koleksi antik ini bersama cara pembuatan kuih kapit tradisional yang menggunakan acuan lama dan resipi asli yang sudah sebati dalam kehidupan kami.
“Tujuannya adalah untuk menghidupkan semula kenangan zaman kanak-kanak kami yang dibesarkan dengan kuih kapit buatan nenek. Tidak sangka pula, ia akhirnya menjadi tarikan utama di Ah Ma House yang mana pengunjung boleh membeli pelbagai barangan termasuk makanan ringan yang popular pada era 80an dan 90an,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Istimewanya, Ng berkata, resipi asli kuih kapit tradisional neneknya itu merupakan warisan daripada tiga generasi keluarga yang hanya menggunakan empat bahan asas sahaja iaitu santan pekat, gula, tepung dan telur.
Ketika ditanya rahsia kesedapan kuih kapit itu, Ng berkata, selain dibakar menggunakan arang bagi menambahkan lagi aromanya, santan segera yang dijual di pasaran adalah menjadi pantang larang tiga generasi keluarga neneknya itu dalam penghasilan kuih tradisional tersebut.
“Santan pekat mesti diperah sendiri. Walaupun banyak santan segera di pasaran, kami tidak gunakannya kerana aroma santan asli lebih wangi ditambah pula dengan aroma dibakar menggunakan arang yang menjadi rahsia keenakannya.
“Kuih ini mudah dibancuh namun, proses membakarnya cukup renyah kerana perlu dilakukan satu per satu. Tangan juga perlu pantas kerana jika lewat sedikit, kuih mudah hangus dan tidak boleh dijual selain perlu pandai mengawal api,” katanya yang turut menjual kuih bahulu.
Mempunyai enam pekerja terlatih yang mampu menghasilkan 16 hingga 18 tin sehari menggunakan kaedah tradisional (setiap tin mengandungi 100 keping) yang dijual pada harga RM35 setin, kuih ini mendapat permintaan sangat tinggi khususnya menjelang Tahun Baharu Cina.
© New Straits Times Press (M) Bhd