Norza kekal Presiden Majlis Olimpik Malaysia tanpa bertanding

Norza kekal Presiden Majlis Olimpik Malaysia tanpa bertanding

[DIKEMAS KINI] TAN Sri Mohamad Norza Zakaria meluahkan penghargaan di atas kepercayaan untuk menerajui Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025-2029.

Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara itu menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden menjelang pemilihan badan induk sukan negara tersebut di Kuala Lumpur pada 19 April ini.

Ia selepas bekas presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu menjadi calon tunggal bagi jawatan tersebut, sekali gus meneruskan kepimpinannya buat kali ketiga berturut-turut sejak 2018.

“Saya merasa rendah diri dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada persekutuan kebangsaan untuk jawatan presiden MOM ini,” katanya.

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi Panel Bebas Pemilihan MOM yang juga Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril ketika sidang media mengumumkan senarai calon bertanding Kuala Lumpur pada Jumaat.

“Pengumuman rasmi mengenai perkara ini hanya akan diumumkan selepas tamat pemilihan,” katanya.

Pencalonan Mohamad Norza disokong sepenuhnya oleh 14 daripada 34 persekutuan kebangsaan yang bergabung dengan MOM.

“Bilangan pencalonan yang diterima adalah rekod tertinggi dan saya amat berbesar hati dengan keyakinan yang luar biasa ini. Saya menganggap ia sebagai mandat yang kuat daripada Persekutuan Kebangsaan.

“Saya benar-benar gembira dan berbesar hati kerana diberi peluang untuk berkhidmat bagi penggal ketiga berturut-turut sebagai presiden, sekali lagi tanpa dicabar.

“Menerusi sokongan berterusan ini, saya kekal komited sepenuhnya untuk mengetuai pergerakan Olimpik di Malaysia, menegakkan nilai-nilai Olimpik di bawah naungan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC),” ujar Mohamad Norza.

Bagi jawatan timbalan presiden pula menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) merangkap Naib Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad dan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz.

Penyandang jawatan, Tan Sri Hamidin Mohd Amin memilih untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Bagi jawatan Naib Presiden, lima calon lelaki bersaing merebut tempat iaitu Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM), Datuk Chong Kim Fatt; Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Iruan Zulkefli; Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Gerard Monteiro (skuasy) dan Presiden Taekwondo Malaysia (WTF), Azizul Anuar Adenan.

Dua tokoh sukan wanita pula dinamakan sebagai calon Naib Presiden Wanita – Datuk Paduka Mumtaz Jaffar (bekas atlet olahraga kebangsaan) dan Penolong Setiausaha Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Nurul Huda Abdullah.

Dalam pada itu, jawatan Setiausaha Agung pula menyaksikan Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Mohd Nasir Ali menang tanpa bertanding sekali gus menggantikan tempat Datuk Mohd Nazifuddin Najib yang tidak mempertahankan jawatannya.

Jawatan Penolong Setiausaha Agung Lelaki turut menyaksikan pertandingan antara Setiausaha Agung Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Arif Astaman dan Presiden Persekutuan Snuker dan Billiards Malaysia (MSBF), Melvin Chia.

Bekas pemain bola jaring negara, Moira Tan Siew See pula diumum menang tanpa bertanding bagi jawatan Penolong Setiausaha Agung Wanita.

Jawatan Bendahari disandang Naib Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin manakala Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam sebagai Penolong Bendahari.

Kedua-dua tokoh itu menang tanpa bertanding.

Scroll to Top