Northport tandatangani perjanjian pembelian bersama ZPMC

Northport tandatangani perjanjian pembelian bersama ZPMC

NORTHPORT (Malaysia) Bhd (Northport) yang juga ahli Kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC) telah menandatangani perjanjian bagi pembelian empat unit Super Post Panamax Container Handling Ship-To-Shore Gantry Crane daripada Shanghai Zhenhua Heavy Industries Co Ltd (ZPMC).

Perjanjian pembelian tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakhrul Azhar Tajudin dan Presiden ZPMC, Zhu Xiaohuai ketika majlis yang diadakan di Northport pada Isnin serta disaksikan oleh pengurusan kanan kedua syarikat berkenaan.

Pemeteraian perjanjian tersebut mengukuhkan komitmen Northport dalam meningkatkan keupayaan pengendalian terminal untuk memberi perkhidmatan kepada kapal kontena yang lebih besar, canggih dan cekap.

Pemeteraian perjanjian tersebut mengukuhkan komitmen Northport dalam meningkatkan keupayaan pengendalian terminal untuk memberi perkhidmatan kepada kapal kontena yang lebih besar, canggih dan cekap.

Fakhrul Azhar berkata, pemeteraian perjanjian tersebut mengukuhkan komitmen Northport dalam meningkatkan keupayaan pengendalian terminal untuk memberi perkhidmatan kepada kapal kontena yang lebih besar, canggih dan cekap.

Menurutnya, dua daripada Kren Dermaga baharu itu mempunyai kapasiti jangkauan 24-unit kontena, keupayaan angkat berkembar atau twin-lift dan kapasiti mengangkat sehingga 65 tan.

“Ia merupakan tambahan kepada kren sedia ada di Northport yang mampu mengendalikan Ultra Large Container Vessels (ULCV). Untuk rekod, pada 20 Mei 2024, kami telah menerima persinggahan kapal MV OOCL Jepun, iaitu sebuah kapal ULCV dengan kapasiti 21,413 TEU, kapal kontena terbesar pernah berlabuh di fasiliti.

“Kemudian, dua lagi unit Kren Dermaga baharu mempunyai kapasiti jangkauan 18-unit kontena, keupayaan angkat berkembar (twin-lift) dan kapasiti mengangkat sehingga 55 tan.

“Proses pembuatan kren oleh ZPMC akan bermula Disember ini dengan penghantaran ke Northport dijangka akan dibuat pada suku kedua tahun 2026,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hadir sama, Pengurus Besar, Perkhidmatan Korporat Northport, Azman Mohamed dan Pengurus Besar Pengurusan Jualan dan Pemasaran ZPMC, Xu Sheng.

Unit Super Post Panamax Container Handling Ship-To-Shore Gantry Crane daripada Shanghai Zhenhua Heavy Industries Co Ltd (ZPMC)

Unit Super Post Panamax Container Handling Ship-To-Shore Gantry Crane daripada Shanghai Zhenhua Heavy Industries Co Ltd (ZPMC)

Dalam pada itu, Fakhrul Azhar berkata, pembelian Kren Dermaga baharu tersebut melengkapkan kerja menaiktarafkan Dermaga 9 Northport yang sedang berjalan dan dijangka siap menjelang suku pertama 2026.

Jelasnya, pelaburan strategik itu akan meningkatkan kapasiti pengendalian dan kecekapan operasi dengan ketara di samping mengukuhkan komitmen syarikatnya terhadap inovasi teknologi serta keselamatan.

Mengulas berkenaan kerjasama bersama ZPMC, beliau berkata, ia adalah sejajar dengan matlamat strategik syarikat itu di bawah program ‘Reinventing Northport’ iaitu inisiatif untuk terus meningkatkan infrastruktur kemudahan pelabuhan.

“Ia adalah untuk memastikan syarikat kami kekal relevan dan mampu memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.

“Komitmen berterusan kami dalam meningkatkan infrastruktur dan kemudahan pelabuhan menyerlahkan dedikasi yang tidak berbelah bahagi terhadap pertumbuhan, kecekapan serta perkhidmatan kepada pelanggan.

“Dengan Kren Dermaga baharu, kami bukan sahaja menangani cabaran perkapalan hari ini tetapi juga bersiap sedia untuk permintaan masa hadapan. Ia bagi memastikan Northport kekal berdaya saing dalam ekosistem maritim global,” ujarnya.

Sebelum ini, Fakhrul Azhar berkata, program ‘Reinventing Northport’ yang bermula pada 2016 bertujuan untuk meningkatkan kemudahan terminal, menaik taraf peralatan dan mengukuhkan kecekapan Northport bagi menambah kepuasan pelanggan serta memacu pertumbuhan perniagaan.

Tambah beliau, antara projek disempurnakan dibawah program tersebut adalah pembelian enam unit Kren Dermaga baharu daripada ZPMC dan telah diserahkan sepenuhnya kepada Northport pada 2019, pembelian 34 unit kren Rubber-Tyred Gantry (RTG) baharu termasuk 11 unit Electrified Rubber-Tyred Gantry (E-RTG) pada 2023 serta tambahan 12 unit E-RTG baharu yang akan diserahkan sepenuhnya pada suku pertama 2025.

“Projek lain yang telah siap termasuk pembinaan gudang Northport Distripark Sdn Bhd (NDSB) 2 iaitu kemudahan gudang moden seluas 349,771 kaki persegi pada 2021 dan pembangunan lapangan kontena baharu, Blok J, pada 2023.

“Pada September baru-baru ini, Northport telah mengumumkan siap kerja lapangan kontena terbaharu iaitu Blok K, bagi meningkatkan kapasiti terminalnya.

“Inisiatif ini merupakan bahagian penting dalam strategi Northport untuk meningkatkan kapasiti terminal bagi menampung permintaan perniagaan yang semakin berkembang dan menambah kecekapan operasi,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden ZPMC, Zhu Xiaohuai berkata, syarikatnya menghargai sokongan tidak berbelah bahagi daripada Kumpulan MMC dan Northport yang memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kerjasama.

Ujarnya, Northport adalah salah satu rakan kongsi yang diyakini dan berharap dapat mengukuhkan kerjasama sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia serta memajukan perdagangan di seluruh Asia Tenggara.

Scroll to Top