Nokia rancang hentikan 10,000 pekerja

Nokia rancang hentikan 10,000 pekerja

HELSINKI: Nokia Oyj akan mengurangkan sehingga 10,000 pekerjaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ini bagi membolehkannya melabur lebih banyak dalam persaingan untuk memenangi bidaan rangkaian 5G.

Langkah itu akan mengurangkan 600 juta euro (RM2.95 bilion) daripada kos asas Nokia menjelang akhir 2023, kata pengeluar peralatan telekomunikasi Finland itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Ia tidak akan menjejaskan tinjauan syarikat bagi 2021, katanya.

Keputusan untuk berpisah dengan sehingga 10 peratus pekerjanya itu dibuat susulan laporan tahunan yang mengecewakan pelabur berikutan prospek penurunan berterusan pendapatan.

Nokia berkata, pelan penstrukturan semula itu akan membabitkan sehingga 700 juta euro (RM3.45 bilion) dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Ia satu program besar yang mencerminkan tahap perubahan dalam industri,” kata penganalisis OP Group, Kimmo Stenvall, menerusi panggilan telefon.

“Pemegang saham tidak akan memperoleh apa-apa, semua hasilnya akan dilaburkan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta membangunkan syarikat.”

Langkah itu adalah sebahagian strategi dilancarkan Oktober lalu untuk membina model operasi baharu yang diharapkan oleh Nokia dapat membantunya mendepani pasaran kompetitif dengan lebih baik.

Ia dilancarkan ketika pesaingnya yang berpangkalan di Stockholm, Ericsson AB berjaya membina rangkaian 5G lebih pantas berbanding jangkaan, sekali gus mencapai sasaran keuntungan lebih awal daripada dijadualkan.

Saham Nokia stabil pagi ini di Helsinki. Ia meningkat kira-kira 14 peratus tahun ini selepas merosot 4.4 peratus pada 2020.

Dengan perubahan terkini di Nokia, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pekka Lundmark berkata semua empat kumpulan perniagaan syarikat sudah mengenalpasti laluan jelas ke arah pertumbuhan yang mampan dan menguntungkan serta menetapkan semula asas kos masing-masing untuk dilabur pada masa hadapan.

-Bloomberg

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top