razis@mediaprima.com.my
INSIDEN tercekik makanan dalam kalangan kanak-kanak bukanlah perkara baharu kerana kejadian seumpama sering dilaporkan berlaku.
Terkini seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang dipercayai tercekik gula-gula ‘gummy’ mata meninggal dunia.
Kejadian menyayat hati ini mula membuka mata ramai pihak terhadap keperluan memastikan makanan yang bersesuaian untuk kanak-kanak bagi mencegah kejadian tercekik makanan daripada berulang.
Mengikut situasi, tercekik makanan boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius kerana bahan makanan itu boleh menghalang laluan udara dan menyebabkan mangsa tidak boleh bernafas.
Sekiranya tiada sebarang langkah segera diambil, mangsa tercekik boleh berdepan dengan maut.
Pakar Perunding Pediatrik & Pediatrik Endokrinologi Hospital Pakar Damansara 2, Profesor Madya Dr Rashdan Zaki Mohamed berkata, kejadian tercekik makanan boleh menyebabkan sumbatan pada salur pernafasan yang boleh membawa maut kepada kanak-kanak jika tidak ditangani dengan segera.
“Kanak-kanak yang tercekik makanan berisiko mengalami gangguan pernafasan dan komplikasi yang lebih serius termasuk pengsan, kurang oksigen dan maut.
“Selain itu, kejadian tercekik boleh menyebabkan kecederaan saraf otak kekal jika rawatan awal lambat diberikan,” katanya.
Jelasnya, kejadian tercekik makanan dalam kalangan kanak-kanak boleh berlaku disebabkan beberapa faktor.
“Antaranya adalah anatomi salur pernafasan kanak-kanak yang lebih kecil berbanding orang dewasa dan faktor jenis makanan seperti tekstur makanan tertentu.
“Faktor usia kanak-kanak apabila bayi lebih berisiko untuk tercekik atau tersedak makanan berbanding remaja atau dewasa.
“Kejadian tercekik juga boleh berlaku berikutan masalah kesihatan tertentu seperti kanak-kanak dengan masalah saraf kronik lebih berisiko tercekik makanan berbanding kanak-kanak normal,” katanya.
Selain itu, punca kejadian tercekik boleh berlaku disebabkan kecuaian ibu bapa atau penjaga yang membiarkan bayi atau kanak-kanak kecil makan bersendirian tanpa pengawasan.
“Ada juga kes yang membabitkan jenis makanan seperti gula-gula kenyal baru-baru ini yang tidak sesuai diberikan kepada kanak-kanak.
“Dalam kes terpencil, ada kes bayi tersedak susu akibat pemberian susu tanpa pengawasan penjaga,” katanya.
Menurutnya, risiko tercekik makanan boleh berlaku seperti bayi mengutip makanan atau objek kecil di lantai dan memasukkannya ke dalam mulut.
“Pada satu ketika dahulu wujud trend melambung kekacang dan menangkapnya menggunakan mulut yang boleh menyebabkan kejadian tercekik makanan itu,” katanya.
Katanya, jenis makanan yang berisiko menyebabkan kejadian tercekik bergantung kepada faktor usia bayi atau kanak-kanak.
“Ini termasuk makanan yang terlalu kecil seperti kekacang, kenyal dan liat seperti gula-gula getah atau daging yang tidak boleh dikunyah secara sempurna,” katanya.
Dr Rashdan turut berkongsi beberapa tanda untuk mengenal pasti seseorang itu sedang mengalami masalah tercekik makanan termasuk batuk berterusan, sukar bernafas, tidak mampu bertutur, kebiruan (cyanose), nafas berbunyi atau berdehit dan ada masanya pengsan atau tidak sedarkan diri jika dibiarkan terlalu lama.
Beliau berkata, apabila melihat tanda seumpama ini, bantuan kecemasan seperti Heimlich maneuver mampu menyelamatkan nyawa anak yang tercekik makanan.
“Namun, segelintir individu mungkin memerlukan bantuan pernafasan termasuk bantuan pernafasan kecemasan (CPR) jika tidak sedarkan diri demi menyelamatkan nyawa pesakit. Pesakit perlu segera dibawa ke kecemasan hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Dalam hal ini, Dr Rashdan berpendapat, langkah yang terbaik untuk mengelakkan kejadian ini berulang adalah pencegahan.
“Kesedaran masyarakat dan pengawasan berterusan untuk kanak-kanak yang berisiko perlu dipertingkatkan untuk mengelakkan kejadian berulang.
“Pada masa sama, setiap individu terutama ibu bapa dan penjaga perlu melengkapkan diri kemahiran latihan bantuan kecemasan seperti Heimlich maneuver dan CPR yang mampu menyelamatkan nyawa mangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd