najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kita rayakan malam ini.”
Demikian kata vokalis kumpulan Nidji, Yusof Ubay sempena meraikan ulang tahun ke-23 kumpulan itu menerusi konsert solo berskala besar yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Berpeluang meraikan di hadapan 10,000 peminat yang hadir menyaksikan konsert terbabit, Nidji membuktikan legasi muzik mereka terus unggul dan cemerlang di negara ini.
Konsert yang diberi nama Nidji 2.3 :The New Chapter turut mencatatkan detik istimewa apabila ia adalah konsert solo pertama mereka di Malaysia dengan ‘line up’ baru.
Selain Ubay, Nidji dibarisi Ramadhista Akbar (gitar), Andro Regantoro (bass), Andi Ariel Harsya (gitar) dan Adriana Prakarsa (dram).
Istimewa mengenai konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu, Nidji mengotakan janjinya apabila membawakan kumpulan Kugiran Masdo dan menyampaikan lagu terbaharu mereka berjudul Zayang-Zayang.
Lebih indah, Zayang-Zayang yang baru sebulan dilancarkan dibawakan secara langsung menerusi konsert itu bersama kumpulan Kugiran Masdo yang cukup dikagumi oleh setiap ahli Nidji.
“Malam ini (semalam) cukup istimewa buat kami kerana berpeluang bersama dengan kumpulan Kugiran Masdo.
“Sebenarnya kami mempunyai perancangan untuk merakamkan lagu bersama, tapi jadual mereka sangat padat.
“Tapi sempena ulang tahun Nidji, kami bawakan Kugiran Masdo di atas pentas ini dan moga ada peluang untuk merakamkan lagu baharu,” katanya.
Selain persembahan Zayang-Zayang bersama Kugiran Masdo, Nidji turut membawakan lagu Getaran Jiwa nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Pastinya apa yang membuatkan penonton yang hadir lebih teruja adalah deretan lagu hits kumpulan itu yang dinanti-nantikan peminat.
Antaranya Sumpah Dan Cinta Matiku, Wadoow, Heaven, Di Atas Awan, Segitiga Cinta, Rahasia Cinta, Abadi, Ku Takkan Bisa, serta Bolehkah Ku Berharap.
Tidak hanya itu, Nidji turut menyampaikan beberapa lagu ‘killer song’ mereka seperti Laskar Pelangi, Hapus Aku, Sudah, Jangan Lupakan, Bila Aku Jatuh Cinta, Teman Sejati, Lampu Hati, Arti Sahabat, Disco Lazy Time dan Biarlah.
© New Straits Times Press (M) Bhd