Nice belasah Saint-Etienne 8-0

Nice belasah Saint-Etienne 8-0

Paris: Nice membelasah Saint-Etienne 8-0 dalam aksi Ligue 1 Perancis selepas mendahului enam gol pada separuh masa pertama.

Penyerang Nice yang berusia 20 tahun, Mohamed-Ali Cho, menjadi duri dalam daging, merobek bahagian kiri Saint-Etienne, menjaringkan gol ketiga dan memberikan bantuan untuk tiga gol yang lain.

“Kami dikuasai, 0-6 pada separuh masa, ini benar-benar mengerikan,” kata pertahanan Saint-Etienne, Dennis Appiah.

Pertahanan Leo Petrot menambah: “Kami berasa malu, tiada kata-kata untuk menggambarkan ini.”

Gol sendiri Dylan Batubinsika diikuti dengan jaringan daripada Tanguy Ndombele, Cho, dua gol daripada Youssoufa Moukoko, Evann Guessand, Sofiane Diop dan sepakan penalti lewat perlawanan dari pemain baharu, Pablo Rosario membolehkan Nice merayakan ulang tahun ke-120 mereka dengan penuh gaya.

Saint Etienne melepaskan tujuh gol dalam tiga kekalahan sejak mara ke Ligue 1 menerusi play-off, tetapi menewaskan Lille 1-0 hujung minggu lalu.

“120 tahun ini akan kekal terukir dalam ingatan, termasuk dalam ingatan saya kerana perlawanan dengan keputusan sebegini tidak sering berlaku,” kata jurulatih Nice, Franck Haise.

Pendahulu liga Paris Saint-Germain bertandang ke Reims awal pagi nanti untuk mengejar kemenangan kelima daripada lima dan tidak tewas dalam 26 perlawanan di tempat lawan berturut-turut dalam liga.

Marseille di bawah kendalian Roberto De Zerbi, yang berada di tempat kedua dalam liga, dua mata di belakang PSG, akan berusaha untuk meneruskan permulaan musim mereka yang hampir sempurna apabila mereka berkunjung ke Lyon esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top