harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiada badan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu mempercepatkan proses siasatan pihak berkuasa, malah tidak dapat membantu tuntutan kerugian daripada pihak berkenaan.
Justeru, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, orang ramai digalakkan membuat laporan kepada agensi pihak berkuasa yang berkenaan supaya tindakan dapat diambil.
“Sekiranya berlaku kejadian di luar jangka seperti penipuan, mangsa boleh membuat aduan kepada agensi penguat kuasa berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan seumpamanya.
“Individu terkesan boleh memfailkan tuntutan terhadap syarikat penganjur (pelaburan) di mahkamah sivil bagi mendapatkan semula kerugian yang dialami.
“Tindakan membuat aduan kepada NGO tidak akan membantu sama ada untuk mendapatkan semula kerugian dialami mahupun mempercepatkan siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan lebih 50 individu mendakwa kerugian sekurang-kurangnya RM5.2 juta selepas melabur dalam skim pelaburan mesin layan diri yang dipercayai palsu, didalangi sebuah syarikat berpangkalan di Johor.
Susulan itu, PDRM menerusi pihak JSJK mengesahkan menerima 58 laporan berhubung sebuah syarikat pembekal mesin layan diri yang dipercayai menawarkan skim pelaburan meragukan.
Ramli dilaporkan berkata, kerugian keseluruhan membabitkan syarikat berkenaan berjumlah RM6.97 juta.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati syarikat terbabit menawarkan beberapa pakej pelaburan dengan nilai keuntungan berbeza.
Bagaimanapun, pihak syarikat terbabit dikatakan gagal membayar keuntungan yang dijanjikan kepada pihak pelabur, malah kebanyakan mangsa tidak pasti sama ada mesin layan diri yang dilaburkan itu wujud ataupun tidak.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas syarikat berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Adalah diingatkan, keputusan menyertai mana-mana skim pelaburan, khususnya berkaitan perkongsian perniagaan seperti mesin layan diri, hendaklah dibuat dengan berhati-hati.
“Lakukan semakan tentang kewujudan mesin yang didakwa dan sahkan lokasi berkenaan di mana mesin itu diletakkan dan sebagainya.
“Sebaiknya, terbabit secara langsung dalam perniagaan berkenaan dan tidak hanya meletakkan kepercayaan kepada pihak ketiga yang tidak dikenali,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd