NexV lantik lima syarikat sebagai vendor kilang EV

NexV lantik lima syarikat sebagai vendor kilang EV

CYBERJAYA – NexV Manufacturing Sdn. Bhd. (NexV) menandatangani dua memorandum perjanjian (MOA) utama dengan pelbagai pihak berkepentingan automotif sebagai sebahagian daripada usaha syarikat untuk mengeluarkan dan memasang kenderaan elektrik (EV) dalam negara.

MoU itu merupakan pencapaian penting sejak majlis pecah tanah kilang pembuatan kenderaan tenaga baharu (NEV) syarikat di Chembong, Negeri Sembilan pada Januari lalu.

Pengerusinya, Datuk SM Azli SM Nasimuddin berkata, perjanjian itu memberi impak besar ke atas landskap NEV apabila  membuka jalan untuk kerjasama menyeluruh dalam pelbagai bidang.

Ia termasuk penyelidikan dan pembangunan, integrasi rantaian bekalan, pembangunan bakat dan peningkatan infrastruktur.

“Kami berharap dengan kemajuan di dalam negara dengan melihat permintaan yang lebih tinggi untuk EV oleh rakyat Malaysia yang bukan sahaja berbangga untuk memandu kenderaan dengan pelepasan sifar tetapi yang lebih penting adalah buatan tempatan dan berpotensi sebagai hab untuk eksport NEV.

“Kejayaan kami dalam sektor NEV amat berkait dengan kerjasama kami dengan vendor Tier Zero (T0) di mana ia menyediakan komponen dan teknologi kritikal yang menjadi tulang belakang kepada produk NEV kami.

“Dengan bekerja rapat dengan mereka, kami memastikan rantaian bekalan yang lancar bagi menyampaikan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoA itu di Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), di sini.

Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Faizal Mohd Yusof.

MoA itu melibatkan lima syarikat sebagai vendor Tahap Sifar atau Tier Zero (T0) di kilang pembuatan dan pemasangan NEV iaitu PHN Industry Sdn Bhd; Hicom Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd; Noble Star Parts Sdn Bhd; Evan Karl Holdings Sdn Bhd dan KNR Biz Solution Sdn Bhd.

Pada majlis sama, NexV turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Central Auto Distributors Bhd dan Wise Star Assets Sdn Bhd yang melantik syarikat sebagai pemasang kontrak.

Salah satu MoA itu melibatkan dua pengedar yang dilantik NexV sebagai Pemasang Kontrak iaitu Central Auto Distributors Bhd. (Dongfeng NEV) dan Wise Star Assets Sdn Bhd. (Electric Bus).

Mengulas lanjut, SM Azli berkata, sejajar dengan matlamat negara, NexV berdedikasi untuk memperkasakan usahawan dan perniagaan Bumiputera dengan menyepadukan mereka ke dalam rantaian bekalan syarikat.

Jelas beliau, ia menggalakkan pertumbuhan yang saksama dan memperkaya industri dengan pelbagai perspektif dan bakat.

“Ia juga lanjutan pengetahuan tentang teknologi produk NEV dan metodologi pembuatan melibatkan pemindahan teknologi langsung.

“Di samping memupuk pertumbuhan industri, NexV juga komited terhadap pembangunan tenaga kerja, melalui kerjasamanya dengan Institut Kemahiran Tinggi Negara Chembong untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan dalam teknologi NEV dengan  memastikan tenaga kerja mahir bersedia untuk memacu industri ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, kilang pembuatan dan pemasangan baharu NexV terletak di tapak seluas 73.34 ekar di Kawasan Perindustrian Chembong, Rembau, Negeri Sembilan dan bakal menjadi asas kepada operasi syarikat.

Fasa pertama pembinaannya termasuk kilang pemasangan dan landasan ujian dijangka siap menjelang Oktober ini dengan operasi pengeluaran besar-besaran bermula pada Mac depan dengan kapasiti pengeluaran awal sebanyak 30,000 unit setahun dengan potensi skalabiliti sehingga 50,000 unit setahun. – MalaysiaGazette