New Zealand layak kali ketiga ke Piala Dunia

New Zealand layak kali ketiga ke Piala Dunia

Auckland: New Zealand mara ke Piala Dunia buat kali ketiga selepas menewaskan New Caledonia 3-0 hari ini tetapi kehilangan tonggak penyerang Nottingham Forest, Chris Wood akibat kecederaan.

All Whites menyertai pasukan yang sudah layak iaitu Jepun dan tuan rumah Amerika Syarikat, Kanada serta Mexico ke pusingan akhir tahun depan menerusi tiga gol pada babak kedua.

Namun, kemenangan di Auckland dalam final kelayakan Oceania itu terpaksa dibayar dengan harga tinggi apabila kapten Wood mengalami kecederaan pinggul.

Sejurus selepas rehat, Wood tercedera ketika berpusing untuk melakukan rembatan dan memerlukan rawatan sebelum terpaksa keluar pada minit ke-54.

“Ini tidak bagus untuk kami kehilangan kapten dan penjaring gol. Ia insiden yang sukar untuk pasukan, tetapi mereka tetap bangkit dengan sangat baik,” kata jurulatih New Zealand dari England, Darren Bazeley.

Tuan rumah kelihatan hilang idea selepas mendominasi babak pertama, tetapi kemudiannya pertahanan veteran Michael Boxall menjaringkan gol pertama negara itu pada minit ke-61 menerusi tandukan dari sepakan penjuru.

Lima minit kemudian, pengganti Wood, Kosta Barbarouses, melambungkan bola melepasi penjaga gol New Caledonia, Rocky Nyikeine.

Pemain gantian Eli Just mengesahkan kemenangan New Zealand dengan gol ketiga dari jarak dekat pada minit ke-80.

Namun, harapan New Caledonia untuk layak ke Piala Dunia belum berakhir dan mereka akan beraksi di peringkat play off.

Piala Dunia tahun depan diperluaskan kepada 48 pasukan, bermakna untuk pertama kalinya pasukan yang memenangi kelayakan Oceania akan mendapat slot automatik.

Pasukan teratas di rantau itu sebelum ini terpaksa melalui playoff dengan New Zealand tersingkir pada peringkat akhir kepada Mexico, Costa Rica dan Peru dalam edisi-edisi sebelumnya.

New Zealand beraksi di Piala Dunia dua kali sebelum ini, pada 1982 dan 2010, tetapi masih belum menang dalam keenam-enam perlawanan mereka.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top