Netizen tuduh kena kifarah sebab ‘mengata’ Sharnaaz Ahmad, ini respon Syada Amzah

Netizen tuduh kena kifarah sebab ‘mengata’ Sharnaaz Ahmad, ini respon Syada Amzah

Baru-baru ini, penyanyi Syada Amzah menulis surat terbuka untuk bapanya Datuk ND Lala menerusi sebuah posting dimuat naik di laman Instagram.

Menerusi hantaran tersebut, Syada atau nama sebenarnya Nursyuhada Amir Hamzah berkata, dia berbuat demikian susulan kesukaran bagi menghubungi bapanya yang juga pelakon, penyanyi dan pengacara 1980-an itu.

Jika menjengah di ruangan komen, pelbagai kata motivasi dan semangat dititipkan buat penyanyi berusia 25 tahun itu yang rata-rata mendoakan supaya urusan keluarganya dipermudahkan.

Bagaimanapun, terselit pula komen seorang individu mengaitkan situasi yang berlaku terhadap keluarga Syada adalah kifarah atau balasan Allah SWT disebabkan pernah ‘mengata’ aktor popular, Sharnaaz Ahmad tidak lama dahulu.

“Itu la lain kali jangan duduk kata kat Sharnaaz Ahmad sebelum ni. Allah balas balik dekat keluarga Syada. Lain kali jangan kata kat orang lain,” komen individu berkenaan.

Sementara itu, Syada dilihat tidak melatah sebaliknya membalas komen secara tenang sambil mengakui bahawa kifarah adalah benar tetapi ‘balasan’ dilalui ketika ini tiada kaitan dengan aktor terbabit.

“Saya tidak akan menarik balik kata-kata saya atau memohon maaf atas sebarang percakapan saya demi mempertahankan keluarga.
“Kifarah sememangnya wujud, tetapi kifarah ini bukan disebabkan apa yang saya katakan kepada dia
(Sharnaaz),” 
balas Syada.

Sebelum ini, ibunya Datin Fauziah Sarman mendedahkan wajah seorang wanita bernama Siti Munirah Abd Ghani dengan kapsyen ‘penyondol’ di akaun Instagram miliknya.

Hantaran tersebut kemudian dikemas kini dengan kapsyen ‘Isteri Dato’ ND Lala… Datin Siti Munirah Abd Ghani’ sekali gus mengesahkan khabar angin bahawa ND Lala bernikah satu lagi.

Terdahulu, kakak Syada iaitu Shila Amzah yang juga penyanyi popular pernah menjalani hubungan cinta dengan Sharnaaz sebelum melalui konflik dan membawa haluan masing-masing.

Sumber: Instagram Syada Amzah & Fauziah Sarman

Scroll to Top