SHAH ALAM – Nestlé Malaysia menyalurkan 5,000 kotak bantuan berupa makanan keperluan asas bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara ketika ini.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) itu akan diagihkan ke pusat penempatan sementara (PPS) dalam masa terdekat dengan sebahagian besarnya di kawasan Pantai Timur.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, setiap kotak mengandungi rangkaian produk-produk Nestlé seperti Milo, Maggi, Nescafe, Nestum, Nestle Gold, Cornflakes, susu Everyday dan Nestle Omega Plus.
Menurutnya, ia bagi memberi sokongan nutrisi dan daya tahan kepada seluruh keluarga dalam berdepan waktu sukar begini.
“Musim tengkujuh memberi cabaran besar kepada sebahagian rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berada di kawasan Pantai Timur.
“Kerjasama berterusan dengan BSMM membolehkan kami menghulurkan bantuan tepat pada masanya memastikan penduduk terjejas banjir mempunyai akses kepada makanan berkhasiat di saat memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, inisiatif tersebut mewakili sumbangan besar produk dalam bentuk barangan dan sumbangan kewangan bernilai RM2 juta yang merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan sumbangan Nestlé Malaysia kepada BSMM sebanyak RM4 juta tahun ini.
“Inisiatif ini mencerminkan kerjasama utuh antara Nestlé Malaysia dan BSMM yang dibina atas matlamat bersama dan komitmen tidak berbelah-bahagi kedua-dua organisasi menyantuni dan membantu komuniti yang dilanda musibah semasa musim tengkujuh,” katanya.
Beliau memaklumkan, Nestlé Malaysia akan memberi komitmen berterusan menerusi pelbagai inisiatif CSR dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat selari hasrat globalnya untuk meneroka potensi makanan untuk meningkatkan kualiti hidup.
“Sebagai syarikat yang berakar umbi di Malaysia dan telah bertapak selama 112 tahun, Nestlé Malaysia akan memberi terus terlibat secara proaktif dalam menyokong komuniti terutamanya apabila berdepan saat-saat mencabar dan memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi BSMM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, bantuan banjir ini bukan sahaja mempamerkan dedikasi Nestlé Malaysia mengangkat martabat rakyat Malaysia, tetapi menyerlahkan kekuatan perpaduan dalam menangani cabaran nasional.
Katanya, sumbangan seumpama itu meringankan beban dan berperanan penting dalam memulihkan harapan bagi isi rumah yang dilanda musibah.
“Sokongan konsisten Nestlé Malaysia dalam misi bantuan banjir merupakan talian hayat, membantu kami meluaskan jangkauan untuk memberikan bantuan berkesan kepada penduduk terjejas banjir.
“Melalui kerjasama kukuh seperti ini, kita berupaya melakukan perubahan yang bermakna,” katanya.