zahrin@bh.com.my
PETALING JAYA: Nestle Malaysia Bhd memindahkan ibu pejabat korporatnya di Surian Tower, Mutiara Damansara ke 1 Powerhouse, Bandar Utama.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols, berkata pemindahan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan ke arah pembudayaan kerja masa hadapan.
Beliau berkata, pembudayaan itu dilaksanakan melalui reka bentuk ruangan pejabat dengan tujuan khusus, yang turut menerapkan langkah keselamatan kesihatan daripada pandemik COVID-19.
Katanya, ia juga mencerminkan hasrat kumpulan untuk terus berkembang dan menyesuaikan diri, terutama kepada permintaan untuk persekitaran kerja lebih fleksibel dan keperluan yang semakin mendesak bagi mewujudkan keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kerja akibat pandemik COVID-19.
Ibu pejabat baharu kumpulan itu juga, katanya, menyediakan ruang kerja yang menambah baik pengalaman bekerja, dengan teknologi dan kemudahan sambungan serba canggih yang bakal mewujudkan persekitaran yang menarik serta menyokong kakitangan.
“Apabila krisis COVID-19 berakhir nanti, dijangka masih terdapat permintaan bagi kaedah kerja hibrid yang membolehkan individu mencari keseimbangan terbaik antara tuntutan kerja dan kehidupan peribadi.
“Lantaran itu, kami sudah menerapkan prinsip ini dalam reka bentuk ruang kerja yang serba moden, berfungsi, mudah disesuaikan dan pintar.
“Langkah ini akan meningkatkan kerjasama dan kesalinghubungan antara anggota pasukan di semua jabatan, lantas mewujudkan persekitaran yang mendorong pemikiran inovatif dan kreativiti di seluruh organisasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Ibu pejabat dua tingkat baharu itu mempunyai konsep ruang terbuka, sistem meja kongsian digunakan untuk menyediakan susun atur tempat duduk yang fleksibel.
Beberapa ruang turut disediakan untuk merangsang kreativiti dan menggalakkan kerjasama, termasuk taman bumbung berteres, ruang perbincangan berasingan dan sudut kopi.
Aranols berkata, dalam usaha mengukuhkan komunikasi dan kehadiran digital, teknologi terkini digunakan untuk menyerlahkan ciri ruang kerja hibrid pintar, dengan peralatan serba moden dan hab permukaan disediakan di bilik mesyuarat untuk meningkatkan interaksi dan pembabitan.
Di samping itu, katanya, pejabat baharu Nestle Malaysia dilengkapi dengan studio kandungan canggih dengan skrin hijau untuk penciptaan kandungan secara dalaman.
“Lebih penting lagi, reka bentuk tempat kerja baharu ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, membolehkan kami memastikan kakitangan kekal selamat sambil mematuhi sepenuhnya garis panduan kerajaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd