Neon Kembali Dengan Biar, Sebuah Perjalanan Rohani Dalam Irama Rock

Neon Kembali Dengan Biar, Sebuah Perjalanan Rohani Dalam Irama Rock

Kumpulan muzik Rock Alternatif, NEON, kini menggemparkan platform penstriman dengan single terbaharu mereka berjudul Biar. “Bersujud saat ku merindu, Kau yang satu di kala ku perlu,”—Biar mengetengahkan tema kesedaran dan keinsafan dalam genre rock moden yang penuh emosi. Lagu ini juga menandakan langkah pertama NEON dalam penghasilan lagu, membuka jalan untuk lebih banyak lagu yang bakal diterbitkan pada masa hadapan.

Biar mengisahkan cinta terindah yang pernah dimiliki, namun musnah akibat kesilapan diri sendiri. Hati yang hancur itu terus dihantui bayang-bayang penyesalan, terperangkap dalam ikatan rasa bersalah. Oleh itu, jiwa yang terluka itu kembali berpaling kepada Tuhan dan mula menyedari bahawa selama ini ia lebih mengejar cinta sesama manusia, tetapi lupa mencari dan mengharapkan kasih Yang Maha Esa. Dengan lirik yang menusuk kalbu dan mesej yang mendalam, Biar jelas bukan sekadar kisah cinta seorang kekasih, tetapi sebuah pengisian jiwa dan cinta daripada seorang hamba kepada Tuhan.

Sebagai salah seorang ahli kumpulan NEON, Adam berkongsi keterujaannya dalam menghasilkan lagu Biar meskipun menghadapi beberapa kesukaran sepanjang proses pembikinan.

“Biar merupakan sebuah lagu yang agak berat, tapi sangat dekat dengan karakter dan gaya muzik NEON. Kami banyak bereksperimen untuk lagu ini, dan itulah sebabnya rakaman mengambil masa lebih dua bulan.

“Sejujurnya, proses penerbitan lagu ini juga sedikit terbantut kerana kesukaran untuk mengumpulkan semua ahli yang masing-masing sibuk dengan komitmen dan tanggungjawab peribadi. Namun, akhirnya, segala usaha dan kesulitan yang kami tempuhi menjadikan kejayaan lagu ini lebih bermakna dan kami semakin bersemangat untuk terus berkarya.”

Beliau juga menambah, antara cabaran lain yang dihadapi mereka adalah untuk menjiwai lagu tersebut seiring dengan penyampaian mood ketika menyanyikan lagu tersebut.

“Kami perlu fahami maksud lagu ini dan hayati mood serta menyampaikannya yang tepat. Ia bukan sekadar tentang vokal, tetapi juga melibatkan seluruh aspek muzik, cover art, dan video muzik yang selari dengan mood yang ingin disampaikan dalam lagu ini.”

Selaku komposer, penulis lirik, dan vokalis bagi NEON, Boy pula berkongsi bahawa lagu Biar tercipta hasil kisahnya peribadinya sendiri.

“Tiga gambaran untuk kumpulan ini ialah Neon, Bold, dan Revolution. Setiap daripada kami mempunyai kekuatan tersendiri yang memudahkan pembikinan lagu. Bagi saya, Biar ialah karya yang sangat sentimental kerana kisahnya terinspirasi daripada pengalaman hidup saya sendiri.”

Sementara itu, Adam berkata dia berharap agar single pertama berjudul Biar ini mendapat tempat di hati pendengar.

“Kami berharap NEON dapat menarik lebih ramai pendengar muzik baharu melalui Biar, selain memberi peminat muzik Malaysia sebuah karya yang lebih segar dan moden. Kami juga bertekad untuk memartabatkan karya seni tempatan, memperkenalkannya kepada pencinta muzik bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Singapura, Brunei, dan Indonesia.

“Lagu Biar juga ialah single pertama kami di bawah Alternate Records, dan kami berharap akan ada lebih banyak projek bersama selepas ini,” tambahnya lagi.

Dengarkan lagu Biar oleh NEON sekarang yang kini boleh didapati menerusi iTunes atau strim terus melalui platform seperti Spotify dan YouTube Music!

Scroll to Top