Kuala Lumpur: Pelakon Nelydia Senrose memilih mengunci mulut mengenai pendiriannya yang tidak berhijab.
Nelydia yang ditemui media dengan imej tidak bertudung hari ini mengaku masih berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Saya tak ada komen mengenai perkara (penampilan) itu.
“Seperti saya pernah cakap sebelum ini, saya sedang mencuba dan tidak akan berhenti untuk menjadi manusia lebih baik,” katanya dalam satu temu bual bersama media hari ini.
Nelydia ditemui pada sesi fotografi drama terbaharu TV3 berjudul Seindah Hujan Cinta yang berlangsung di Damansara, hari ini.
Menurut Nelydia, dia berharap orang ramai dapat terus mendoakan yang terbaik buat dirinya.
“Saya mengharapkan doa daripada orang ramai untuk menjadi manusia yang lebih baik.
“Saya tahu dan percaya doa yang baik itu akan berbalik kepada diri kita,” katanya.
Terdahulu nama Nelydia menjadi bualan hangat netizen di media sosial selepas dikatakan tidak lagi berhijab.
Dalam perkembangan lain, Nelydia akan muncul menerusi drama Seindah Hujan Cinta yang turut dibintangi oleh pelakon Ezzani Jasny dan Yusuf Bahrin.
© New Straits Times Press (M) Bhd