Nekad tangguh sambung belajar demi lima adik

Nekad tangguh sambung belajar demi lima adik

MELAKA – “Kalau saya sambung belajar, takut adik-adik tertinggal dalam pelajaran jadi fokus saya sekarang adalah memastikan masa depan mereka terjamin seperti dimahukan arwah ibu dan ayah,” kata Saeed Ezuddin, 22.

Menurutnya, kejadian yang menimpa kedua ibu bapanya semalam berlaku begitu pantas menjadikan mereka enam beradik bergelar yatim piatu sekelip mata.

Namun jelasnya, dia perlu kuat demi adik-adik berusia 21, 16, 12, 15 dan 10 tahun walaupun adik perempuannya berusia 21 tahun sudah mendirikan rumah tangga.

“Sekarang ini, fokus saya adalah untuk menjadi ibu dan ayah untuk semua adik-adik terutamanya yang masih bersekolah dan mengetepikan rancangan saya untuk menyambung pengajian dalam bidang elektronik.

“Kalau sambung belajar saya takut tidak dapat beri perhatian kepada mereka, jadi keutamaan sekarang adalah mencari pendapatan untuk menguruskan keperluan kami termasuk menjaga nenek yang terlantar,” katanya ketika ditemui di kediaman di Tambak Bugis, hari ini.

Turut hadir adalah Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Santos Bukarok dan Asrin Alkin iaitu Pegawai Khas kepada Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Kalsom Noordin yang menyampaikan sumbangan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan dalam kejadian 7.45 pagi itu, pasangan OKU bisu terbabit Ezuddin Mohammad, 50 dan isterinya, Surayah Muhamat, 48, yang menaiki motosikal maut selepas dirempuh sebuah Perodua Myvi.

Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan tiga buah motosikal di Jalan Serkam Pantai, Jasin.

Nahas turut melibatkan seorang daripada dua lagi penunggang motosikal yang turut dirempuh pemandu kereta berkenaan cedera di bahagian badan.

Siasatan awal mendapati, operator kilang berusia 24 tahun itu dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dari arah Merlimau ke Melaka telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Mengulas lanjut, Saeed yang baharu sahaja bekerja sebagai juruteknik 13 Mei lalu dengan pendapatan upah harian antara RM80 hingga 100 sehari berkata, mereka enam beradik akan terus menetap di Tambak Bugis bersama-sama nenek terlantar akibat strok dan seorang bapa saudara.

Sementara itu Santos berkata, JKM akan memberi bantuan awal sekali bayar berupa wang tunai sebanyak RM300 diikuti dengan bantuan bulanan sebanyak RM430 dan pesakit kronik terlantar RM500 untuk nenek mereka berusia 80-an yang kini sakit terlantar.

“Kita juga akan mempertimbangkan bantuan RM450 kepada adiknya yang masih bersekolah berusia antara 10 hingga 16 tahun yang akan cuba disegerakan,” katanya. – MalaysiaGazette.