SUNGAI PETANI: Amanat arwah ibu yang meminta menjaga satu-satu adiknya akan terus dipikul oleh Mohd. Ikmal Danial Mohd. Sofi yang kehilangan ibu bapa akibat kemalangan jalan raya di Chumphon, Thailand dua minggu lalu.
Mohd. Ikmal Danial, 21, berkata, meskipun ada saudara mara termasuk nenek, Sairah Lin, 68, hendak menjaga adiknya, Mohd. Danial Irfan, 13, tetapi dia nekad untuk memenuhi permintaan ibu mereka, Allahyarhamah Zaimima Ismail.
“Hari ini genap 14 hari kami bergelar yatim piatu dan selama itu juga saya telah menunaikan permintaan terakhir ibu, menjaga adik sebaik mungkin dan tidak berpisah dengannya sampai bila-bila.
“Susah senang biarlah dia bersama saya tambahan lagi hubungan kami memang rapat sejak kecil,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menerima kunjungan sekumpulan pemilik motosikal berkuasa tinggi.
Ahli kumpulan itu yang juga rakan baik ibu bapa mereka menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM47,252 dan batu nisan untuk dijadikan tanda di pusara.
Tambah Mohd. Ikmal Danial, dia juga akan meneruskan perniagaan kedai makan diusahakan Allahyarham bapanya, Mohd. Sofi Ismail sebagai punca pendapatan utama untuk menyara hidup.
“Sebelum ini pun saya yang urus kedai makan itu terutamanya ketika ibu dan bapa pergi berkonvoi motosikal dan saya bersyukur kerana tidak perlu lagi bersusah payah memikirkan soal pendapatan.
“Dengan adanya bantuan daripada isteri, Intan Syazwani Mohd. Nadzri, 23, akan membantu kami meneruskan legasi perniagaan keluarga dan menjaga adik dengan baik,” katanya.
Pada 27 Januari lalu, Mohd. Sofi dan Zaimima maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki GTR1400 dinaiki mereka terlibat kemalangan di negara jiran.