Negeri Sembilan yakin HSR dapat dilaksanakan

Negeri Sembilan yakin HSR dapat dilaksanakan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan yakin projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura akan dapat dilaksanakan meskipun belum ada kata putus mengenainya oleh kerajaan Persekutuan setakat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelaksanaan projek tersebut penting khususnya sebagai katalis pembangunan Negeri Sembilan yang lebih cepat dan moden khususnya melibatkan kawasan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0.

“HSR ini penting untuk Negeri Sembilan, memang tidak ada pengumuman lagi sama ada diteruskan atau tidak tetapi hasil perbincangan ia masih mengekalkan jajaran asal.

“Mungkin setahun dua ini ada pengumuman baharu tetapi kerajaan negeri yakin ia dapat dilaksanakan, bila masanya belum dapat dipastikan tetapi dengan adanya HSR ini pasti ia akan menjadi katalis pembangunan Negeri Sembilan yang lebih cepat dan moden,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah MVV City di sini semalam.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim, Pengerusi Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts), Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin serta Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock.

Sementara itu, Aminuddin berkata, sebagai projek pembangunan yang signifikan kepada Negeri Sembilan, MVV 2.0 kini berjalan begitu baik termasuk dengan penglibatan Matrix Concepts yang telah memulakan pembangunan MVV City yang merupakan sebahagian daripada MVV 2.0.

“Saya lihat tahun 2025 akan menjadi permulaan yang baik buat MVV 2.0, pembangunan akan tertumpu di kawasan ini (MVV City), ia bukan hanya perancangan malahan kelulusan juga sudah ada untuk kawasan ini.

“Kerjasama di kawasan sempadan iaitu dengan Selangor juga memberikan impak lebih kuat terutama bermula tahun depan dan tahun-tahun seterusnya,” katanya.

Pembangunan MVV 2.0 seluas 153,000 hektar adalah meliputi daerah Seremban dan Port Dickson.-UTUSAN.

Scroll to Top