Negeri Sembilan siap sedia sepanjang tahun hadapi banjir

Negeri Sembilan siap sedia sepanjang tahun hadapi banjir

TAMPIN: Kerajaan Negeri Sembilan kini bersiap sedia daripada segala aspek untuk sepanjang tahun bagi menghadapi bencana banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, berbanding sebelumnya di mana persediaan hanya ditumpukan semasa musim tengkujuh namun pendekatan yang diambil kini adalah berubah mengambil kira perubahan cuaca dan pemanasan global di mana banjir boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Menurut beliau, kejadian banjir terbaharu di Jelebu pada 18 Februari lalu merupakan peringatan supaya persediaan perlu sentiasa ada terutama daripada segi bantuan dan pusat pemindahan sementara.

“Kita berharap bahawa ini (kejadian terbaharu) akan memberikan peringatan untuk semua pihak bersedia bila-bila masa supaya kita dapat kurangkan kos serta kerosakan yang berlaku.

“Di peringkat daerah, kekuatan bukan hanya membabitkan bilangan individu tetapi yang paling utama adalah kerjasama antara jabatan bagi membolehkan anggota memberi bantuan segera kepada mangsa banjir,” katanya pada Perhimpunan Pentadbiran Daerah Tampin 2025 di Dewan Perdana Tampin, di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat serta menghulurkan banjir di daerah Tampin yang paling teruk terjejas dalam kejadian banjir hujung tahun lalu.

“Wakil rakyat setempat juga banyak membantu semasa kerja-kerja pembersihan pasca banjir bagi memudahkan mangsa terjejas kembali ke kediaman dan memulakan kehidupan semula.

“Begitu juga kepada para penyumbang tenaga dan penyumbang barang-barang keperluan seperti dapur masak, tilam, pakaian dan keperluan-keperluan rumah untuk mangsa-mangsa banjir terjejas,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top