Negeri Sembilan sasar bawa pulang mata

Negeri Sembilan sasar bawa pulang mata

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Gagal meraih mata dari gelanggang sendiri apabila tewas kepada Perak FC pada aksi Sabtu lalu, skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) bertekad tampil dengan aksi lebih baik apabila bertemu Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, petang esok.

Meskipun kelebihan berpihak kepada pasukan lawan, namun skuad Hobin Jang Hobin tetap mahukan keputusan positif diraih atau membawa pulang mata daripada perlawanan ke-10 liga itu.

“Kami tercicir mata dalam aksi di tempat sendiri baru-baru ini dan kini kami tidak mahu keputusan buruk itu berterusan dalam perlawanan menentang Penang FC, petang esok.

“Kami akan berusaha untuk memberikan persembahan lebih mantap bagi memastikan dapat membawa pulang mata walaupun kelebihan milik pihak lawan.

“Saya yakin dan percaya sasaran ini boleh dicapai jika semua rakan-rakan dapat memberikan komitmen 100 peratus dalam perlawanan dan memanfaatkan setiap peluang jaringan.

“Kami sedar tidak boleh lagi mensia-siakan peluang jika mahu pasukan memperbaiki kedudukan dalam carta,” kata kapten pasukan Negeri Sembilan, Nasrullah Hanif Johan.

Nasrullah percaya usaha memperbaiki kelemahan yang dikesan dalam pasukan itu akan dapat membantu merealisasikan sasaran berkenaan.

Tonggak pertahanan berpengalaman itu juga percaya kehadiran pemain import terbaharu, Sebastian Avanzini mungkin boleh memberi impak positif terhadap kekuatan pasukan.

“Selaku kapten, saya mengalu-alukan kedatangan Avanzini dan berharap dia dapat memberi impak positif dalam membantu kami dan pasukan kembali meraih kemenangan,” katanya.

Terdahulu, NSFC dalam satu kenyataan mengesahkan kedudukan Avanzini dalam pasukan itu dan dalam masa sama menamatkan kontrak pemain penyerang dari Sepanyol, Mika Junco.

“Negeri Sembilan FC ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Mika yang telah tamat kontraknya bersama pasukan atas persetujuan bersama.

“Sumbangan beliau bukan sahaja di dalam padang, malah melalui kerjasama, dedikasi dan komitmen yang telah diberikan sepanjang tempoh beliau bersama kelab,” kata kenyataan itu hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top