Negara Arab kutuk pengeboman Ibu Pejabat Jawatankuasa Qatar di Gaza

Negara Arab kutuk pengeboman Ibu Pejabat Jawatankuasa Qatar di Gaza

ISTANBUL – Negara-negara Arab dan pertubuhan Islam mengutuk pengeboman Israel ke atas Ibu Pejabat Jawatankuasa Qatar Bagi Pembinaan Semula Gaza.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Oman, Mesir dan Jordan bersama-sama Majlis Kerjasama Teluk dan Pertubuhan Kerjasama Islam mengecam serangan udara Israel ke atas ibu pejabat jawatankuasa itu, yang bertanggungjawab untuk pembinaan semula Gaza.

Terdahulu, Kementerian Luar Qatar mengecam pengeboman Israel, melabelkannya sebagai “pencerobohan terang-terangan.”

Qatar mengutuk serangan itu, menganggap ia lanjutan daripada dasar pendudukan yang menyasarkan orang awam, hospital dan tempat perlindungan pelarian.

Serentak itu, Qatar menyeru Israel untuk “berhenti memberikan justifikasi dan maklumat yang mengelirukan untuk serangan ini.”

Kementerian Luar Arab Saudi dalam kenyataannya mengecam “pencerobohan terang-terangan oleh pasukan pendudukan ke atas ibu pejabat jawatankuasa Qatar” dan menyatakan solidariti dengan Doha, menggesa masyarakat antarabangsa untuk segera menamatkan “pelanggaran yang dilakukan oleh pihak berkuasa pendudukan.”

UAE mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas ibu pejabat itu menegaskan keperluan untuk gencatan senjata segera untuk mengelakkan pertumpahan darah selanjutnya.

Kementerian Luar Kuwait juga mengecam pengeboman itu, menyifatkan ia sebagai “jenayah” dan “perbuatan keji.”

Ia menyeru masyarakat antarabangsa untuk “menamatkan pencabulan Israel atas pembohongan yang terdedah kepada dunia.”

Kementerian Luar Oman turut mengecam pengeboman ibu pejabat jawatankuasa Qatar, menunjukkan solidariti dengan Doha dan menyifatkan serangan ini merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang baharu dan terang-terangan, meneruskan pencerobohan kejam Israel terhadap rakyat Palestin.

Mesir juga juga melakukan kecaman sama sambil menyifatkan ia sebagai serangan keji.

Jordan dalam satu kenyataan daripada Kementerian Luarnya mengutuk pengeboman Israel ke atas Jawatankuasa Qatar bagi Pembinaan Semula Gaza berkata, Israel telah menambah rekod jenayah perangnya.

Di peringkat organisasi, Jassim Al-Budaiwi, Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk, mengutuk pengeboman Israel ke atas ibu pejabat Qatar di Gaza, dengan mengatakan ia adalah “bukti lanjut tentang kekejaman dan kecuaian pasukan pendudukan.”

Pertubuhan Kerjasama Islam mengecam pengeboman ibu pejabat itu, menganggapnya dalam “rangka kerja pencerobohan tentera yang sedang berlangsung yang menyasarkan orang awam Palestin dan infrastruktur awam di Semenanjung Gaza.” – Agensi