“Mula-mula saya nak tolak.”
Demikian perkongsian pengacara berpengalaman, Naz Rahman, 47, yang diberikan peluang oleh TV3 untuk menggalas tugas untuk mengendalikan acara berprestij Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).
Mendedahkan dirinya hampir menolak tawaran terbabit, akhirnya Naz bersetuju selepas memahami konsep baharu yang diketengahkan oleh pihak TV3.
Walaupun berasa berat hati pada awalnya, pengacara yang terkenal mengendalikan program Jalan Jalan Cari Makan ini mendedahkan penjelasan yang diberikan oleh pihak produksi meyakinkan dirinya untuk menerima tugasan tersebut.
“Pertama kali saya diberi tugas ini, dengan hati gembira dan berat dalam masa yang sama.
“Karier sebagai hos, saya tahu tidak dinilai dengan matawang ‘glamour’. Pengacaraan adalah cinta pertama saya, kredibiliti segalanya.
“Mula-mula saya nak tolak… Apabila setuju dengan kontrak baru, saya tahu mana tinggi langit dan mana rendah bumi.
“Ada tugasan yang lebih berat berbanding yang lain. Terima kasih TV3 atas penjelasan dan mandat mengemudi AJL39,” tulis Naz dalam ciapan yang dimuat naik di platform X miliknya.
Naz turut meluahkan rasa syukur kerana setelah 25 tahun bergelar pengacara, kepercayaan yang diberikan oleh pihak TV3 membuktikan pengalamannya dihargai.
“Syukur sangat dengan peminat yang faham dan percaya akan kebolehan saya. Saya setuju dengan rasional pihak produksi untuk mencipta pembaharuan.
“25 tahun saya berkhidmat, saya faham berat lagi bahu memikul bila imbas kembali ekspetasi penonton kita,” tambahnya.
Naz juga menzahirkan komitmennya untuk memberikan persembahan terbaik bersama rakan gandingannya, Sissy Imann, pada malam kemuncak AJL39 yang bakal berlangsung 16 Februari depan.
“Gandingan senior dan skuad pelapis memerlukan kreativiti dan keberanian. Janji kami adalah untuk memberikan yang terbaik demi menjulang karya pemuzik tempatan.
“Harapan kami berdua semoga diberi kepercayaan, kekuatan dan sokongan untuk berdiri atas kaki sendiri,” ujarnya lagi.
AJL39 akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada jam 9 malam di TV3, dan turut boleh distrim melalui www.tonton.com.my.
Bagi yang ingin menonton secara langsung, tiket boleh dibeli di www.wowtix.com.my.