Nasihat Rossi azimat Bagnaia

Nasihat Rossi azimat Bagnaia

Spielberg bei Knittelfeld: Juara dua kali MotoGP, Francesco Bagnaia dari Ducati mengakui nasihat daripada Valentino Rossi antara faktor yang membolehkan dia memenangi MotoGP Austria semalam.

Bagnaia adalah produk Akademi Pelumba VR46 sejak ia ditubuhkan dan meningkat dengan pantas di bawah kendalian juara dunia sembilan kali Rossi. Sebelum perlumbaan di Austria, dia mendapat panduan daripada mentornya itu.

“Sebelum berlumba, dia (Rossi) berkata kepada saya supaya mengulangi kejayaan semalam (acara pecut) kerana saya melakukannya dengan cemerlang, jadi saya hanya perlu mengulanginya semula,” kata Bagnaia ketika sidang media selepas tamat perlumbaan.

Dia turut menjelaskan persefahaman erat dalam kalangan ahli Akademi VR46.

“Selepas perlumbaan, dia sangat gembira, juga kerana Celestino [Vietti] baru sahaja menang perlumbaan pertamanya tahun ini. Situasinya tidak bagus, jadi kami sangat gembira untuknya.

“Saya fikir Bezzecchi (Marco) juga berlumba dengan baik. Dia masih mampu bangkit, jadi saya rasa ia hujung minggu yang bagus untuk Akademi.”

Namun, jelas pendapat dan pandangan Rossi paling dihargai Bagnaia walaupun Rossi tiada di litar.

“Penting adanya Vale bersama kami tetapi saya banyak bercakap dengannya jika dia tiada bersama kami di sini,” katanya. “Kami kerap berbalas mesej yang sangat berguna kerana saya perlukan nasihatnya.”

Dalam perlumbaan semalam, Jorge Martin yang memulakan sesi kelayakan di kelompok depan menamatkan saingan di tempat kedua dengan Enea Bastianini melengkapkan senarai podium di litar RedBullRing itu.

“Jentera berfungsi dengan baik dan pantas, ia cukup mengagumkan,” kata Bagnaia.

“Saya sedar apa sahaja boleh berlaku terutama di selekoh terakhir dan saya gembira apabila dapat menamatkan saingan di mana ia adalah kemenangan ketiga di litar ini,” katanya.

Sementara itu, Martin akui dia agak kecewa tidak dapat menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top