Nasib Norazizi dapat perhatian Adun Sri Tanjung

Nasib Norazizi dapat perhatian Adun Sri Tanjung

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Port Dickson: Nasib Norazizi Nordin yang terlantar sakit akibat terlantar sakit selepas mengalami pendarahan dalam otak mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjung, Dr. G. Rajasekaran yang mengadakan lawatan ke rumah warga emas itu semalam.

Menerusi hantaran di Facebook (Fb), Rajasekaran berkata, tujuan lawatannya itu adalah menyantuni Norazizi, 62, dan keluarganya yang dalam kesulitan.

Ketika lawatan, Rajasekaran turut menyampaikan bantuan kerusi roda sumbangan Mykasihcare untuk kegunaan Norazizi selain mendapatkan maklumat lanjut daripada anak lelaki itu (Norazizi) bagi memudahkan proses permohonan bantuan.

Anak Norazizi, Muhammad Badran, 35, berkata, dia terharu kerana nasib bapanya mendapat perhatian wakil rakyat dan orang ramai selepas tersiarnya kisah di Harian Metro.

“Alhamdulillah , YB (Yang Berhormat) sudi datang ke rumah tengok keadaan ayah dan beliau minta saya dapatkan laporan perubatan hospital ayah kemudian datang ke pejabat untuk uruskan permohonan Skim Perlindungan mySalam.

“Syukur juga kerana ramai juga yang menyumbang dan beri kata semangat, ia sangat membantu kami sekeluarga.

“Bagi pihak keluarga, saya ucapkan terima kasih dan hanya Allah SWT saja yang mampu membalasnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah dan pengalaman Muhammad Badran Norazizi menyambut Ramadan buat kali pertama dalam keadaan bapanya, Norazizi terlantar sakit.

Norazizi jatuh tersembam ketika turun daripada lori hingga menyebabkan pendarahan otak pada akhir Oktober tahun lalu.

Insiden itu berlaku ketika Norazizi yang juga pemandu lori berhenti berehat di satu kawasan selepas menghantar barangan di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Kini, Muhammad Badran menjaga bapanya dengan bantuan tiga adik beradik yang lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top