Arau: Nasib kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang cedera selepas dipercayai dipukul ibunya sehingga tersungkur dan terhantuk di bucu bangku di hadapan pasar raya di Jejawi, dekat sini, Ahad lalu mendapat perhatian Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Fadhlina yang diwakili Pegawai Khas Abu Seman Mat Karim hari ini menyampaikan sumbangan termasuk bakul makanan Rahmah, peralatan sekolah dan wang tunai kepada kanak-kanak perempuan itu yang ditemani bapanya berusia 28 tahun serta neneknya.
Hadir sama pada sesi penyampaian sumbangan di bilik sewa ibu bapa kanak-kanak berkenaan di Jejawi itu, Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin dan Pengarah Kebajikan Masyarakat Perlis Ku Chik Ku Mat Esa.
Wakil Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut hadir menyampaikan sumbangan wang tunai kepada kanak-kanak berkenaan.
Bercakap kepada pemberita selepas penyampaian sumbangan itu, nenek kepada kanak-kanak itu mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan kepada cucunya.
“Buat masa ini, saya yang akan jaga mereka dua beradik (kanak-kanak itu dan adik perempuannya) di Jerlun, Kedah. Cucu (mangsa) saya ini selalu pergi sana (di Jerlun). Insya-Allah, saya boleh jaga (mereka),” katanya yang merupakan nenek di sebelah bapa kanak-kanak itu.
Semalam, media melaporkan seorang pekerja kantin berusia 37 tahun direman enam hari untuk membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas wanita itu ditahan di bilik sewanya di Jejawi pada 10 Feb.
© New Straits Times Press (M) Bhd