
Nur Izzuddin (kanan) dan Sze Fei akan berdepan pasangan tuan rumah dalam aksi suku akhir BAC di China pada Jumaat. Foto Agensi.
BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menepati ramalan apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Malaysia (BAM) 2025 di China sebentar tadi.
Kejayaan tersebut diraih selepas pasangan berstatus kedua dunia itu menumpaskan Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh secara straight set di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Biarpun ditentang sengit pasangan dari Thailand itu, namun gandingan negara tenang membuka set pertama dengan kemenangan 21-18.
Menjengah permainan kedua, Sze Fei-Nur Izzuddin tidak menoleh ke belakang lagi apabila mengesahkan kemenangan 22-20 dalam masa 39 minit permainan.
Menanti pasangan negara dalam saingan suku akhir ialah wakil China, Chen Bo Yang-Liu Yi menewaskan Chiu Hsing Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan 21-17, 22-20 dalam satu lagi aksi pusingan kedua.
Dalam pada itu, impian Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King untuk mengikut jejak Sze Fei-Nur Izzuddin berada dalam kelompok lapan terbaik tidak kesampaian.
Pasangan yang menghuni ranking ke-19 dunia itu tumpas di tangan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Pujian bagaimanapun wajar diberikan kepada pasangan negara apabila mengheret pasangan China itu untuk beraksi hingga ke set penentuan.
Pengalaman nyata memihak Wei Keng-Wang Chang apabila menang 17-21, 21-14, 21-11 dalam tempoh 47 minit saingan.