georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Naqiu, 38, sehingga kini masih berdepan pelbagai jenis permintaan serta usikan bukan-bukan termasuk peminat cuba ambil kesempatan untuk mendekatinya atas dasar kepentingan peribadi.
Namun, Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiudin Mohd Najib semakin matang menepisnya dan melihat perkara itu dari sudut positif di mana ramai masih ambil berat mengenai dirinya sebagai artis.
“Kalau minta bukan-bukan, saya sudah cukup matang untuk itu. Orang sudah minta saya bukan-bukan sejak usia saya 15 tahun. Macam-macam usikan, macam-macam cubaan.
“Macam saya pernah ceritalah, kes pasal toreh-toreh tangan itu, individu psiko yang datang serang rumah saya dan banyaklah lagi. Saya sudah hadap perkara itu sejak saya duduk di Johor lagi.
“Pada saya itu menandakan yang sebenarnya saya ini ada sesuatu untuk orang tengok. Bila jadi sampai sekarang pun, saya okay dan saya buat tak tahu. Ada macam-macam jenislah (orang),” katanya.
Naqiu yang juga penyanyi Boboy bagaimanapun sangat cermat dalam menapis tawaran diterima apatah lagi selepas karier seninya rancak semula sejak 2019.
“Bila pasal hal kerja, saya dikelilingi pengurusan saya. Dulu saya tak ada pengurusan yang menjaga. Jadi bila saya ‘comeback’, saya pastikan ada orang sentiasa menjadi ‘perisai’ saya.
“Sebelum apa-apa, kena lalui beberapa peringkat sebab saya ada dua pengurus. Merekalah akan ditapis dulu orang-orang itu,” katanya yang pernah menghilang lebih 12 tahun serta cari rezeki menyanyi di kelab.
© New Straits Times Press (M) Bhd