Napoli lepas peluang keemasan

Napoli lepas peluang keemasan

Como: Napoli terlepas kedudukan pendahulu Serie A kepada Inter Milan menjelang pertembungan epik hujung minggu depan selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada pasukan baharu naik, Como.

Skuad kendalian Antonio Conte kini ketinggalan satu mata di belakang juara bertahan, Inter, yang menang tipis ke atas Genoa sehari sebelumnya.

Kekalahan Napoli berpunca daripada jaringan kemenangan Assane Diao pada minit ke-77, yang memastikan tiga mata berharga buat Como.

Inter akan bertandang ke Naples dalam aksi yang berpotensi menjadi penentu Scudetto, manakala Atalanta mengintai peluang lima mata di belakang sebelum aksi mereka menentang Empoli.

Nasib malang Napoli bermula seawal minit ketujuh apabila Amir Rrahmani tertampan bola ke gawang sendiri, namun Giacomo Raspadori kembali menghidupkan harapan dengan gol penyamaan 10 minit kemudian.

Namun, Diao – yang mencetak gol dalam tiga perlawanan berturut-turut – memastikan kemenangan Como di Stadio Giuseppe Sinigaglia, sekali gus melonjakkan pasukan bimbingan Cesc Fabregas ke tangga ke-13, tujuh mata di atas zon penyingkiran.

Pemain bawah 21 tahun Sepanyol itu kini mengumpul lima gol sejak berpindah dari Real Betis pada Januari, menjadi sebahagian daripada pembelian besar Como dalam usaha mereka mengekalkan status Serie A selepas lebih dua dekad.

Dibarisi pemilik terkaya liga hasil sokongan gergasi tembakau, Djarum, Como berbelanja besar dalam jendela perpindahan musim sejuk demi memastikan mereka tidak kembali ke Serie B.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top