Nana sudah setahun tak minum kopi untuk jaga vokal

Nana sudah setahun tak minum kopi untuk jaga vokal

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon dan penyanyi popular, Siti Nordiana Alias atau Nana, 40, sudah hampir setahun ‘berhenti’ minum kopi untuk menjaga vokalnya walaupun ia minuman kegemaran.

Nana berkata, akibat masalah vokal dialaminya tahun lalu menyebabkan dia sedar perlu berpantang sekali gus terpaksa menjauhi minuman kopi demi kelangsungan karier nyanyiannya.

“Tahap vokal saya teruk ketika menyertai All Stars Gegar Vaganza (ASGV) tahun lalu. Ditambah, pita suara jadi semakin ‘koyak’ selepas saya memaksa diri untuk meneruskan perjuagan di ‘final’.

“Justeru, salah satu cara bagi memulihkan semula vokal saya memang kena pantang minum kopi. Alhamdulillah, selama hampir setahun tak minum kopi, pita suara semakin beransur pulih.

“Harapan saya semoga masalah pita suara dan vokal ini dapat pulih sepenuhnya serta tidak berulang lagi. Malah, saya akan terus pantang minum kopi demi kebaikan diri juga,” katanya kepada Harian Metro.

Nana ditemui pada sidang media Konsert Tomok dan Siti Nordiana Memori Mungkin Berulang di ibu kota berkata, masalah pita suaranya berpunca daripada jangkitan Covid-19 ketika musim pandemik dulu.

“Saya pernah mendapatkan rawatan doktor pakar untuk memulihkan semula masalah pita suara koyak yang mengganggu vokal saya. Cuma, ia perlu proses lama juga untuk sembuh.

“Menyanyi pula adalah kerja saya dan bila berlaku masalah vokal itu memang memberi risiko pada nyanyian. Sekarang, selepas beransur pulih saya kena mengikuti kelas vokal setiap bulan atau lebih kerap,” katanya.

Menurut Nana, kini dia mengikuti kelas vokal bersama Datuk Syafinaz Selamat bagi memastikan tiada masalah dan boleh menyanyi dengan baik demi menghiburkan peminat-peminatnya.

Konsert Tomok dan Siti Nordiana Memori Mungkin Berulang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari depan. Tiket berharga antara RM98 sehingga RM498, termasuk VIP Box (RM5,000).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top