asyikin.mat@hmetro.com.my
GEMARKAN cabaran dalam pekerjaan mendorong wanita ini memilih kerjaya berbeza di luar bidangnya iaitu menjadi Pengurus Badan Kebajikan Rumah Warga Emas Darul Hanan.
Rumah kebajikan itu memberikan penjagaan dan perlindungan kepada 100 warga emas Islam yang tiada waris juga tidak mempunyai tempat tinggal, khususnya golongan asnaf serta fakir miskin di Pulau Pinang.
Siti Sarah Yahaya, 44, yang berkelulusan sains statistik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), kini sudah 15 tahun berkhidmat di rumah kebajikan berkenaan.
Namun begitu, ia bukanlah penghalang kepadanya untuk mencurahkan kasih sayang kepada penghuni rumah kebajikan itu yang dianggap seperti ibu bapanya sendiri.
Menurutnya, dia cenderung menabur bakti kepada warga emas memandangkan dirinya adalah anak yatim piatu ketika kecil menyebabkan jiwanya sensitif kepada mereka yang kurang bernasib baik.
“Saya amat meminati bidang pengurusan manusia kerana ia memberi makna kehidupan lebih mencabar.
“Malah saya akui menguruskan kebajikan warga emas bukanlah satu tugas yang mudah. Mereka memerlukan lebih perhatian dan mempunyai keperluan yang pelbagai.
“Namun demikian, saya menganggap tugas ini sebagai satu terapi hidup yang indah kerana percaya setiap insan adalah sangat unik dengan tingkah lakunya,” katanya.
Katanya, tambahan pula dia mendapat sokongan daripada jawatankuasa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Darul Hanan yang sentiasa membantu dan menyokong usaha menjaga warga emas terbabit.
“Allah SWT turut membantu memudahkan urusan ini apabila kami mempunyai satu pasukan kakitangan yang mempunyai semangat tinggi NGO dan mereka suka melayani kehendak warga emas.
“Sebelum ini, saya berjaya mendapat panggilan temu duga sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) sebanyak tiga kali di peringkat akhir, selepas melepasi peringkat penilaian di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan). Namun tiada rezeki menjadi pegawai kerajaan.
“Sebaliknya, saya sangat bersyukur diberikan peluang istimewa ini untuk bekerja menguruskan warga emas di negeri kelahiran sendiri,” katanya.
Siti Sarah berkata, cabaran paling utama sebagai pengurus di rumah kebajikan itu ialah untuk bertahan mengekalkan kakitangan yang komited memberikan khidmat terbaik menjaga penghuni termasuk masih sihat dan terlantar.
“Mereka ini menjadi tulang belakang utama di rumah kebajikan yang menjaga warga emas.
“Semestinya kakitangan perlu mempunyai jiwa penyayang dalam menyantuni warga emas yang mempunyai pelbagai kerenah dan penyakit,” katanya.
Katanya, tanggungjawab itu amat berat dalam memastikan setiap penghuni diberikan perkhidmatan jagaan yang terbaik.
“Oleh itu, penyusunan dalam setiap langkah dan tindakan perlu mengikut prosedur ditetapkan supaya tidak dipersalahkan.
“Selain itu, perlu sentiasa mencari ilmu bagi meningkatkan pengetahuan untuk mengurus emosi dan keperluan warga emas,” katanya.
Siti Sarah berkata, antara pengalaman tidak dapat dilupakan ialah penghuni rumah kebajikan itu sangat menyayanginya dan menganggap seperti anak sendiri.
“Selain itu, mereka selalu memeluk saya setiap kali membuat rondaan di asrama. Ini memberikan semangat yang positif untuk terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada penghuni.
“Nasihat saya kepada wanita yang ingin menceburi kerjaya atau aktiviti kebajikan membabitkan warga emas, perkara paling utama ialah mempunyai jiwa dan kemahuan tinggi dalam menyantuni golongan berkenaan.
“Bersedia mencari ilmu dalam memahami kehendak dan keperluan warga emas.
“Di samping itu, perlu mempunyai sifat ihsan yang tinggi kerana ia sangat membantu dalam memberikan rasa hormat dan kasih sayang tanpa mengira usia, darjat, pangkat serta paras rupa,” katanya.
Untuk rekod, Badan Kebajikan Rumah Warga Emas Darul Hanan ditubuhkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).Penubuhannya diasaskan mantan ahli MAINPP, Datuk Jahara Hamid dan mula beroperasi pada 2010.
MAINPP dan Zakat Pulau Pinang adalah agensi yang konsisten menyalurkan peruntukan setiap tahun bagi melancarkan pengoperasian rumah kebajikan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd