Nak minta maaf pun tak sempat – Mangsa tumbuk Senawang

Nak minta maaf pun tak sempat – Mangsa tumbuk Senawang

 

SEREMBAN: Wanita yang menjadi mangsa tumbuk di Senawang selepas berlakunya kemalangan, buat masa ini tidak mampu memaafkan pelaku kerana selama 27 tahun hidupnya tidak pernah dilayan buruk sebegitu oleh adik-beradik lelakinya.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Ira, 27, berkata, bapanya yang merupakan seorang pesara guru juga sudah memberikan didikan terbaik buatnya termasuk mengakui sekiranya berbuat kesalahan.

“Masa saya terlanggar semalam tu pun, saya tak cakap apa-apa, saya tak melenting, tak melawan, nak keluar kereta pun tak sempat. Niat bila buka pintu kereta tu pun terus nak minta maaf tapi saya tak diberi peluang untuk bercakap pun.

“Tahu-tahu datang terus bagi (tumbuk) ja, untuk saya maafkan dia susah. Kalau dia sendiri tak berfikir sebelum bertindak. Saya tak akan tarik kes. Selepas saya buka pintu (kereta), dia hayunkan tangannya untuk menumbuk, saya palingkan muka dan tumbukan terkena di belakang kepala. Lelaki tersebut terus ke depan mengambil anaknya dan letak ke tepi.

“Kemudian, sekali lagi dia hayun tangannya untuk tumbuk muka saya tapi saya berpaling dan terkena sekali lagi di belakang kepala. Kali ketiga pula dia tumbuk bahagian perut saya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ujar ibu kepada sepasang anak berusia tujuh dan lima tahun itu, sebagai seorang ibu, dia juga kasihan dengan nasib kanak-kanak yang dilanggar ketika jalan sesak ketika itu.

Malah menurutnya, sebagai ibu bapa juga adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan keselamatan anak-anak di jalan yang sesak.

“Masa kejadian saya baru sahaja beli baju raya adik saya di pasar raya berdekatan. Memang pandangan saya melihat kereta di kiri dan kanan serta hadapan yang keluar masuk. Tiba-tiba sahaja selepas sebuah kenderaan membelok di hadapan, saya yang meneruskan perjalanan terlanggar. Nampak dan sedar pun bila dah terlanggar,” katanya.

Ujarnya lagi, disebabkan kejadian tersebut juga dia mengalami kecederaan dan pintu keretanya juga rosak kerana ditolak-tolak dengan kuat oleh pelaku.

“Saya serahkan kes ini kepada pihak polis. Bukan kata berdendam, tapi memang tak boleh, abang saya sendiri pun tak pernah jentik saya walau sedikit,” katanya yang merupakan anak ketiga dari tujuh beradik serta mempunyai dua adik-beradik lelaki.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menumbuk seorang wanita dalam kejadian di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang. – UTUSAN

Scroll to Top