Kriteria setiap orang dalam memilih pasangan hidup pastinya berbeza-beza. Menyenaraikan apa yang kita harapkan bukanlah satu tindakan berlebihan, namun untuk membolehkan kita dan bakal pasangan hidup dengan baik selepas menjalinkan hubungan.
Hal ini samalah seperti perkongsian seorang pemuda di akaun Twitter apabila menyenaraikan beberapa kriteria untuk bakal isteri yang ingin dicarinya mengikut apa yang dirasakan sesuai dengan dirinya.
Namun, salah satu syarat wanita idamannya adalah perlu mempunyai sijil Malaysia Universiti English Test (MUET) di peringkat keempat atau keatas sebelum dia bersetuju menjadikan wanita itu pasangannya.
Perkongsian pemuda tersebut nyata menghadirkan perdebatan dalam kalangan netizen di media sosial kerana menganggap dia berlebihan dalam pemilihan pasangan.
Tindakannya dikecam sesetengah netizen dan mempersoalkan semula tahap pendidikannya sehingga mengharapkan seorang pasangan juga mempunyai pendidikan yang hebat.
Namun begitu, tindakan pemuda terbabit masih disokong oleh sesetengah pihak yang berfikiran terbuka dan merasakan apa yang diharapkan itu sesuatu yang wajar.
Mereka juga akui sesuatu perhubungan yang ‘sekufu’ lebih baik bagi mengelakkan sebarang masalah berkaitan pemahaman dan komunikasi di masa hadapan.
Walau bagaimanapun, perdebatan tersebut bukanlah sesuatu yang perlu diperbesarkan kerana setiap orang mempunyai kriteria tersendiri dalam mencari pasangan.
Jadi, tidak perlu rasanya untuk saling berkata sinis ataupun menzahirkan rasa tidak setuju dengan pandangan orang lain kerana kita juga mempunyai pandangan sendiri.
Sumber: Twitter @ArjunaIndera98